Thursday, November 21, 2013

Nasib Rajagobal Ahad ini

Sumber: Utusan
 
KUALA LUMPUR - Tanda tanya mengenai kedudukan lDatuk K. Rajagobal sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya selepas kekalahan 0-1 pasukannya kepada Qatar kelmarin, kemungkinan besar bakal terlerai pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Ahad ini.

Sekalipun tampak kecenderungan khidmatnya tidak dilanjutkan selepas 31 Disember ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menganggap, terlalu awal untuk membuat kesimpulan sebelum mesyuarat itu.

Biarlah Tuanku Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah) yang akan mempengerusikan mesyuarat Exco itu, memutuskan sama ada hendak melanjutkan khidmatnya atau sebaliknya.
Namun pada dasarnya, kontrak Datuk Rajagobal dengan FAM memang berakhir 31 Disember, malah satu klausa untuk beliau merundingkan semula khidmatnya sebulan sebelum tarikh itu, masih terpakai," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Hamidin turut menolak untuk mengulas walaupun hanya mengenai kekalahan perlawanan Kumpulan D di Stadium Shah Alam itu yang semakin memalapkan peluang Malaysia untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia, buat kali pertama sejak 1980.

Namun, beliau mengakui peluang ‘Safiq Rahim dan rakan-rakan’ ke Australia begitu tipis dengan baki satu perlawanan yang wajib dimenangi di Yemen pada 5 Mac 2014 sambil berharapkan keputusan empat pasukan tempat ketiga Kumpulan A, B, C dan E, lebih rendah daripada mereka.

“Ada baki satu perlawanan tahun depan, namun apa-apa kemungkinan pun (berhubung kedudukan ketua jurulatih negara) masih perlu diperhalusi dalam mesyuarat Exco," katanya. 

Jelasnya, kedudukan Rajagobal dan KPI (Indeks Utama Prestasi) pasukannya iaitu layak ke Piala Asia telah dibincangkan sejak awal tahun ini lagi oleh Jawatankuasa Teknikal FAM yang dipengerusikan Timbalan Presiden persatuan, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Justeru Hamidin menolak sebarang keperluan untuk menyaring kedudukan jurulatih itu secara berperingkat-peringkat menerusi jawatankuasa itu mahupun Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM sebelum diketengahkan kepada Exco.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...