Sunday, November 17, 2013

Darby yakin bina semula reputasi Kelantan

Sumber: Utusan Malaysia
 
KOTA BHARU - Pengendali baharu The Red Warriors, Stave Darby bertekad mahu memastikan reputasi dan standard Kelantan tidak tercalar meskipun kehilangan beberapa tonggak utama yang berhijrah keluar dari pasukan berkenaan untuk saingan musim hadapan.

Darby berkata, Kelantan masih mempunyai ramai pemain yang berkaliber termasuk barisan muda dari skuad Piala Presiden yang dijangka mampu membentuk gandingan mantap buat The Red Warriors untuk menggalas cabaran musim 2014.


"Saya akan berusaha bagi memastikan Kelantan menang dalam setiap perlawanan.

"Selain itu, saya juga mahu barisan pemainnya beraksi dengan tanpa sebarang tekanan dalam setiap perlawanan," katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Jurulatih kelahiran England tersebut mengikat kontrak selama dua tahun bagi menggantikan pengendali sebelum ini Bojan Hodak yang memilih untuk tidak menyambung khidmat bersama The Red Warriors musim depan.

Darby bukanlah asing dalam saingan Liga Malaysia apabila dia pernah membimbing Johor pada musim 1998 hingga 2000, Perak (2005-2008) selain turut pengalaman menjadi pembantu kepada Bryan Robson, mengendalikan skuad kebangsaan Thailand pada tahun 2009.

Pencapaian terbaik Darby ialah membantu Perak menjulang kejuaraan Piala FA tahun 2005 dan naib Juara Piala Malaysia 2007.

Saingan musim depan menyaksikan sembilan tonggak utama The Red Warriors sah meninggalkan pasukan berkenaan iaitu Mohd. Norfarhan Mohammad, Indra Putra Mahyuddin, Azizi Mat Rose, Mohd. Rizal Fahmi Rosid, S. Subramaniam, Mohd. Daudsu Jamaluddin, Mohd. Shakir Shaari dan Mohd. Izuan Solahuddin serta Dickson Nwakaeme.

Mengulas mengenai kehilangan beberapa tonggak tersebut, Darby menganggap perkara tersebut sebagai lumrah dalam sukan bola sepak.

"Kehilangan beberapa pemain utama bukanlah lagi rahsia dan kita perlu menerima perkara tersebut dengan sebaik mungkin kerana ia merupakan lumrah dalam bola sepak," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...