Sumber: Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR - Biar apa pun yang akan berlaku
Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) akan meneruskan perjuangan untuk
memberi pengajaran kepada pemain yang sesuka hati mempermainkan kontrak
mereka, termasuk yang terbaru bekas pemain Johor Darul Takzim (Johor
DT), Muhamad Nazri Ahmad.
Ini bermakna, FAS tidak bercadang untuk menyelesaikan masalah
tersebut di luar FAM, sebaliknya akan membawanya ke muka pengadilan.
Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad berkata, mereka tidak mahu
dilabel sebagai persatuan yang mudah tunduk mengalah selepas berlaku
perkara yang sama ketika ingin membawa pulang Safee Sali.
Biarpun sudah memberi persetujuan lisan, Safee akhirnya memilih untuk kekal di pangkuan Johor DT.
"Saya ada bukti di tangan, yang mana kontrak perjanjian yang ditandatangani oleh pemain Nazri.
" Kita boleh tahu siapa yang tipu siapa. Saya tidak tahu jika ada
sesetengah pihak mendakwa Nazri hanya bersetuju secara lisan untuk
menyertai Selangor tetapi secara realitinya, dia telah mengikat kontrak
dengan FAS," katanya.
Pemain pertahanan itu mencetus kontroversi apabila didakwa melanggar
kontrak FAS sebagaimana dia telah menandatangani perjanjian dengan
pasukan Selangor tetapi membuat 'pusingan U' menyertai Kelantan untuk
Liga Super musim depan.
Semuanya terjawab sebaik pemain berusia 23 tahun itu berada dalam
senarai pemain Kelantan bagi musim 2014 dalam majlis memperkenalkan
Pasukan The Red Warriors, kelmarin.
"Kita tidak mahu lagi imej dan kredibiliti persatuan negeri ini
tercalar sebagaimana FAS pernah berdepan situasi yang sama ketika cubaan
mendapatkan khidmat Safee.
"Bezanya dengan kes Nazri, Safee sekadar bersetuju menerusi
perjanjian lisan untuk menyertai Selangor dan kes itu selesai sejurus
pihak Johor DT bersetuju membayar semula pampasan kepada FAS.
"Namun, untuk kes terbaru ini kami memiliki bukti iaitu perjanjian kontrak itu telah pun ditandatangani Nazri," katanya.
Mokhtar berkata, ia adalah satu perbuatan tidak bermoral apabila
seorang pemain yang sudah menandatangani kontrak tetapi membuat pusingan
U dengan menyertai pasukan lain.
"Saya menghormati pandangan (Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain
FAM) Datuk Takiyuddin Hassan yang memberi saranan supaya menyelesaikan
kes ini dengan cara berhemah tetapi pemain seperti ini perlu diberi
pengajaran agar tidak sesekali memandang ringan berhubung isu kontrak
"FAS tetap akan bawa kes ini ke FAM demi keadilan untuk pihak kami,
saya menyeru FAM agar melaksanakan atau menggubal peraturan perpindahan
lebih ketat bagi mengelakkan perkara ini tidak berulang pada masa akan
datang.
"Kalau begini sikap pemain, mudah buat mana-mana pasukan beli pemain.
Sikap inilah harus kita kikis dan saya berharap FAM dapat melakukan
sesuatu untuk menghalang pemain-pemain yang telah menandatangani
kontrak, berhijrah ke pasukan lain," katanya.
Takiyuddin sebelum ini mengesahkan mana-mana pemain yang didapati
bersalah melanggar kontrak boleh menerima hukuman paling maksimum iaitu
digantung perlawanan untuk satu musim musim.
No comments:
Post a Comment