Tuesday, November 12, 2013

Safee wajar berhijrah

Sumber: Kosmo

"MOHD. Safee (Sali) wajar berhijrah menyertai mana-mana kelab di luar negara jika masih sayangkan kariernya sebagai pemain bola sepak.”

Demikian jelas Zakaria Ab. Rahim mengenai hala tuju penyerang sensasi Harimau Malaya itu yang masih belum membuat keputusan berhubung masa depannya sebaik kontraknya sebagai pemain pinjaman bersama Johor Darul Takzim (Johor DT) bakal tamat penghujung bulan ini.

Zakaria berkata, mana-mana pemain negara termasuk Safee sewajarnya merebut peluang beraksi di negara luar biarpun menerima tawaran lumayan daripada mana-mana pasukan tempatan.



“Duit boleh cari, namun pengalaman dan ilmu tiada nilainya dan tidak akan datang bergolek di depan mata.

“Jika ada tawaran bagus termasuk kelab dari Thailand, mengapa tidak? Saya percaya Safee wajar merebut peluang ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Polemik berhubung masa depan Safee, 29, mula tercetus apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim memberikan peluang kepada penyerang itu sama ada mahu kekal bersama Johor DT atau pun tidak selepas menyertai pasukan itu secara pinjaman awal musim ini.

Pegawai media Arema Indonesia (dahulunya dikenali sebagai Pelita Jaya), Sudarmaji baru-baru ini juga secara terbuka mengakui mereka tidak lagi memerlukan khidmat Safee sebaik kontraknya bersama kelab itu tamat pada Februari tahun depan.

Buat masa ini, Safee dikatakan berada dalam radar naib juara Liga Perdana Thailand iaitu Suphanburi FC, selain cuba dilamar satu lagi kelab Indonesia - Persib Bandung.

Mengulas lanjut, Zakaria juga menasihatkan Safee supaya bersedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk nilai kontrak yang lebih rendah gara-gara prestasi kurang memberangsangkan sepanjang bersama Johor DT musim ini.

“Mungkin sukar buat mana-mana kelab mengemukakan tawaran yang lebih baik seperti mana Pelita Jaya (Arema Indonesia), namun itu bukan isu utama kerana ia mampu meningkatkan karier Safee selain kebajikannya juga terjaga.

“Ia telah dibuktikan sebelum ini apabila Safee berjaya muncul penjaring ketiga terbanyak Liga Super Indonesia bersama Pelita Jaya pada musim 2012,” katanya.

Justeru, Zakaria mengakui bersedia menguruskan semula karier Safee jika penyerang itu bersetuju untuk berhijrah ke luar negara selepas ini.

“Ke Botswana pun saya boleh jaga. Bukan sahaja Safee, malah mana-mana pemain yang mahu meningkatkan karier (dengan menyertai kelab luar negara) juga saya boleh bantu,” jelas Zakaria.

Kecemerlangan Safee membantu Harimau Malaya mendakap trofi Piala Suzuki AFF 2010 mula membuka mata banyak kelab luar sebelum dilamar Arema Indonesia pada 2011, selain ditawarkan kontrak lanjutan bernilai RM2 juta untuk kekal bersama kelab itu setahun kemudian.

Ketika ini, Safee berada di bumi Bahrain bersama Harimau Malaya menjelang aksi Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Nasional, Manama Jumaat ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...