Sumber: Harian Metro
Johor Bahru: Selepas sekian lama berteka-teki, status penyerang
kebangsaan Safee Sali sama ada berhijrah ke pasukan lain atau kekal
bersama Johor Darul Takzim pada musim depan akhirnya terjawab.
Laman rasmi Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Johor Southern
Tigers mengesahkan penyerang kebangsaan itu akan kekal bersama skuad
Harimau Selatan mengharungi kempen Liga M.
Safee yang dipetik dalam laman berkenaan amat teruja untuk kembali berkhidmat bersama skuad bimbingan Cesar Ferrando Jiminez tatkala bekas pemain Arema FC itu mahu melangsaikan tugas yang perlu diselesaikan selepas gagal mempamerkan aksi memberangsangkan sepanjang kempen Liga Super musim ini.
“Ada tugas perlu dilangsaikan,” kata Safee secara ringkas sekali gus
memberi gambaran awal kebangkitan pemain itu yang begitu dahaga untuk
kembali menyengat dan kesempatan berlatih bersama jurulatih
berpengalaman amat dinantikan.
Dia juga bertekad memperbaiki segala kelemahan dan berjanji memberi persembahan terbaik terutama kepada peminat bola sepak Johor.
Sebelum ini, pelbagai desas-desus mengenai kedudukan Safee yang dikhabarkan akan kembali menyertai Selangor malah jurulatih skuad Gergasi Merah, Mehmet Durakovic turut berminat mendapatkan khidmat penyerang kebangsaan itu.
Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga tidak memaksa Safee
untuk membuat keputusan sebaliknya menghormati pilihan pemain itu.
Tenyata keputusan Nor Farhan Mohammad yang membuat keputusan tidak bersama dengan Johor DT selepas memohon untuk dilepaskan beraksi bersama Terengganu membawa tuah buat Safee.
Yang pasti kepulangan Safee yang kembali menyertai Johor DT
menceriakan skuad Harimau Selatan dan kelegaan buat Jiminez untuk
menyusun barisan terbaik pasukan ketika skuad itu sudah memiliki bekas
pemain Piala Dunia Argentina Pablo Aimar, bekas pemain bawah 21 tahun
Sepanyol, Braulio Nobrega Rodriguez dan pemain Lions XII, Hariss Harun.
No comments:
Post a Comment