Friday, November 8, 2013

Perlawanan Sumbangsih kembali kira mata

Sumber: Utusan Malaysia
 
PETALING JAYA - Dua perkara yang membuatkan media tertarik dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam iaitu perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah tahun depan kembali dikira sebagai perlawanan pertama Liga Super dan pasukan kelab dibenar menyertai Piala Presiden 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Afandi Hamzah berkata, mesyuarat telah bersetuju supaya pertemuan antara Lions XII (juara Liga Super) dan Pahang dalam perlawanan Sumbangsih pada 17 Januari depan dikira sebagai perlawanan Liga Super pertama kedua-dua pasukan.


"Ini adalah perubahan baharu dalam perlawanan Sumbangsih, di mana mesyuarat telah bersetuju supaya ia dijadikan perlawanan pertama Liga Super di mana ia tetap berlangsung 90 minit.

''Jika seri setiap pasukan akan mendapat satu mata manakala juara piala ini pula ditentukan menerusi sepakan penalti," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Perlawanan Sumbangsih itu menyaksikan Lions XII akan menjadi tuan rumah dan akan diadakan di Stadium Shah Alam 17 Januari ini. 

Kali terakhir format seperti ini digunakan ialah pada 2011 sebelum ditukar pada 2012 dan 2013 dengan mengasingkan Piala Sultan Ahmad Shah dengan saingan Liga Super.

"Kita menggunakan kembali cara ini adalah untuk menimbulkan persaingan kompetitif, jadi FAM akan menguruskan segala pengangkutan dan penginapan bagi kedua-dua pasukan," ujarnya.

Selain perlawanan Sumbangsih, FAM juga menukar saingan Piala Presiden di mana sebelum ini mereka tidak membenarkan pasukan kelab untuk menyertainya tetapi bagi musim depan pasukan seperti Sime Darby, PKNS, T-Team dan Felda United boleh mengambil bahagian.

"Tarikh tutup permohonan untuk menyertai Piala Presiden ialah pada 30 November dan pada edisi kali ini mereka akan bersaingan dalam dua kumpulan yang dimainkan secara liga dua pusingan. Pasukan di tempat pertama hingga keempat bagi kedua-dua liga akan mara ke saingan suku akhir. Tahun lepas FAM hanya memperkenal sistem satu liga sahaja," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...