Sunday, November 24, 2013

Barisan Tok Gajah masih berteka-teki

Sumber: Harian Metro
 
Kuantan: Selaku juara Piala Malaysia, Pahang tidak terlepas berdepan kemelut pemain musim depan selepas kontrak mereka akan tamat hujung bulan ini.
Walaupun jurulatih Dollah Salleh menegaskan 90 peratus pemain musim ini akan kekal bersama Tok Gajah namun pengesahan itu masih belum diputuskan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

Terdapat beberapa pemain dilihat cuba bermain tarik tali dengan PBNP apabila mendakwa mereka menerima banyak tawaran lebih menarik yang tidak mungkin ditolak.

 
Sikap profesional pengurusan PBNP harus dipuji apabila mereka tidak mudah melatah, kenyataan membenarkan pemain memilih haluan masing-masing sekiranya itu lebih baik mencerminkan badan induk bola sepak Pahang itu tidak mudah menerima ugutan pemain.

Pemain tengah Amirul Hadi Zainal yang sebelum ini dikhabarkan akan bersama pasukan Johor Darul Takzim (JDT) musim depan namun memutuskan untuk terus kekal di Pahang.

Beberapa nama seperti Azidan Sarudin, Mohd Razman Roslan, Mohd Saiful Nizam Miswan, Hafiz Kamal dan Mohd Faizol Hussin kini masih belum memutuskan pasukan mana yang akan mereka wakili musim depan.

Mengenai awang import, difahamkan hanya Damion Stewart yang beraksi cemerlang di benteng pertahanan akan terus kekal bergandingan dengan pemain veteran Jalaluddin Jaafar dan Shahrizan Salleh.

Sementara jodoh penyerang kelahiran Argentina, Matias Conti tidak panjang apabila kontraknya dikatakan tidak disambung bagi membuka ruang kepada tenaga import baru yang mungkin lebih baik.

Bagi Azidan, dia masih belum membuat keputusan sama ada akan terus kekal dengan pasukan Pahang atau sebaliknya, selagi kontrak dengan PBNP belum tamat dia tidak boleh memberi kenyataan.

“Hati saya masih ingin terus kekal bersama Tok Gajah terutama selepas berjaya menjulang Piala Malaysia namun terpulang kepada PBNP sama ada masih inginkan khidmat saya atau sebaliknya.

“Walaupun ada menerima tawaran beberapa pasukan namun saya masih belum membuat sebarang keputusan disebabkan beberapa faktor,”katanya yang menjadi penggerak Pahang bergandingan dengan Amirul Hadi.

Beliau berkata, selepas semusim bersama Pahang dia begitu selesa terutama berjaya membantu Tok Gajah menjulang Piala Malaysia selepas menanti 21 tahun. Bagi Shahrizan yang lebih 11 musim bersama Pahang, menegaskan dia akan terus bersama Tok Gajah musim depan bagi memastikan kecemerlangan dilakar musim ini dapat diteruskan.

“Hati saya tidak mungkin beralih ke pasukan lain, bermula di Pahang dan biar berakhir di Pahang juga.

“Pada usia yang semakin lanjut ini mustahil saya akan berhijrah kerana PBNP menyediakan semua apa yang dikehendaki,” katanya yang berasal dari Pekan.

Katanya, kemuncak kejayaan yang diimpikan sudah berjaya dicapai musim ini, sebagai pemain dia begitu puas mengharungi pahit dan manis bersama pasukan negeri kelahiran.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...