Saturday, November 16, 2013

Saya tidak cemburu - Azlan

Sumber: Utusan Malaysia
 
KUALA LUMPUR - Penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar memberitahu yang dia adalah insan paling gembira apabila mengetahui bekas pengendali Perak, Mohd. Azraai Khor bakal bersamanya mengemudi pasukan itu musim depan.

Malah, dia menolak tanggapan segelintir pihak yang dia kecewa kerana tidak dilantik sebagai ketua jurulatih.

Ujarnya, pelantikan Azraai oleh pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) di bawah pucuk pimpinan Presiden baru, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, adalah langkah yang tepat bagi menguatkan cabaran T-Team bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2014.


Malahn, Azlan menjelaskan, Azraai ada menghubunginya sebelum tiba ke Kuala Terengganu untuk bertanyakan sama ada sudi bekerja dengannya dan itu merupakan satu petanda baik bahawa gandingan dua 'AZ' itu mampu bekerjasama dengan baik.

''Saya tiada sebarang masalah untuk bekerjasama dengan Azraai yang saya anggap seperti sahabat baik, malah cukup bertuah kerana dapat belajar sesuatu daripadanya.

''Dia bukan calang-calang jurulatih dan saya rasa dia antara yang terbaik di kalangan jurulatih tempatan di masa ini kerana belum pernah ada jurulatih yang boleh menyamai pencapaiannya dengan menjulang gelaran double treble ketika bersama Kedah.

''Ketika Negeri Sembilan terumbang-ambing pada satu ketika, dia juga tanpa dijangka menghadiahkan trofi Piala Malaysia dan pada pandangan saya, dia memang pilihan cukup tepat untuk membimbing T-Team,"katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Azlan dalam masa sama mengingatkan yang dia masih baharu dalam bidang kejurulatihan setelah membuat kemunculan semula bersama T-Team pada tahun lalu untuk membantu Che Ku Marzuki Che Ku Mohd. Nor dan tidak timbul istilah cemburu atas pelantikan Azraai Khor.

''Selepas saya meninggalkan KL Malay Mail, saya sudah lama tidak berkecimpung dalam bidang kejurulatihan dan apabila mendapat peluang menjadi penolong jurulatih T-Team pada tahun lalu, saya anggap ini adalah peluang kedua buat saya untuk belajar.

''Jadi, saya rasa tidak wajar jika ada tuduhan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab yang ada mengatakan saya kecewa kerana tidak dilantik ketua jurulatih kerana tahu yang saya masih kurang pengalaman," katanya.

T-Team yang baru mengesahkan kehadiran bintang Indonesia, Patrich Steve Wanggai, untuk memenuhi slot pemain import dari Asia, difahamkan sedang menunggu jawapan bekas pemain Kelantan, Mohd. Norfarhan Muhammad yang masih belum membuat sebarang keputusan sama ada memilih Terengganu atau T-Team.

Bekas pemain Terengganu dan Harimau Muda A, Mohd. Faizal Muhammad antara pemain baru yang akan sertai T-Team pada tahun hadapan dan dijangka akan bergandingan bersama Mohd. Marzuki Yusof di barisan pertahanan selain bekas penjaga gol Pahang dan Terengganu, Wan Azraie Wan Teh.

G. Mahathevan, Abdul Latif Suhaimi dan Ahmad Syamim Yahya antara beberapa pemain T-Team yang difahamkan telah mengambil keputusan untuk menyertai pasukan lain pada musim depan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...