Sumber: Harian Metro
KANGAR: Pengulas bola sepak Reduan Abdullah menjadi pilihan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) selaku jurulatih skuad Singa Utara bagi mengharungi kempen Liga M musim depan.
Reduan yang juga bekas tonggak tengah kebangsaan dan Selangor bukan nama asing kerana pernah diberi kepercayaan mengendalikan kelab Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) dan Felda United beberapa musim lalu.
Reduan dan beberapa jurulatih berpengalaman seperti Wan Jamak Wan Hassan serta B Sathianathan pernah mengalami nasib malang apabila digantung Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana teguran dan pandangan mereka mengenai beberapa kelemahan badan induk itu Pegawai Media PFA Mohd Noor Ismail mengesahkan perlantikan itu, berkata Reduan hanya akan memulakan tugas secara rasmi berkuat kuasa 1 Disember ini.
“Beliau (Reduan) menjadi pilihan PFA kerana pengalaman dimiliki sebagai pemain dan juga pengendali beberapa pasukan yang beraksi dalam Liga M.
“Biarpun hanya akan memulakan tugasnya pada 1 Disember ini, beliau turut diberikan kepercayaan mengendalikan sesi pemilihan untuk skuad Perlis selama dua hari mulai Sabtu lalu,” katanya.
Mohd Noor berkata, PFA turut melantik bekas penolong jurulatih skuad Liga Perdana Sabah musim lalu, Johnny Dominicus sebagai pembantu Reduan.
Katanya, Johnny pernah mengendalikan skuad Sukan Malaysia (SUKMA) Sabah yang menjuarai kejohanan dwi tahunan itu pada 2012.
Sementara itu, katanya, lebih 150 pemain tempatan dan beberapa negeri termasuk yang pernah beraksi untuk skuad Liga Perdana dan Liga Super hadir mencuba nasib pada sesi pemilihan itu.
No comments:
Post a Comment