Wednesday, November 13, 2013

Barisan Kedah hampir lengkap

Sumber: Harian Metro

Alor Setar: Senarai penuh barisan pemain tempatan yang akan membarisi skuad Kenari untuk saingan Liga Perdana musim depan dijangka diumum selepas Mesyuarat Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), esok.

Setiausaha Kehormat KFA Aminuddin Omar berkata, setakat ini senarai pemain tempatan sudah hampir lengkap termasuk dua tonggak utama musim lalu Mohd Khyril Muhymeen Zambri dan Baddrol Bakhtiar.



Katanya, setakat ini beberapa bekas pemain yang pernah beraksi untuk Kedah seperti Helmi Eliza Elias, Fauzi Saari dan Shafizan Hashim turut dirisik untuk kembali menyarung jersi skuad hijau kuning pada musim depan.

“Semua senarai nama pemain tempatan yang kita tawarkan bermain di Kedah sudah lengkap dan hampir semua sudah bersetuju dan menandatangani kontrak dengan KFA, cuma tinggal seorang, dua sahaja lagi yang masih belum memberi kata putus.

“Bagaimanapun, keputusan itu akan diperoleh dalam tempoh terdekat dan dijangka diumum selepas Mesyuarat Eksekutif KFA yang turut dihadiri oleh Presiden Datuk Mukhriz Mahathir,” katanya semalam.

Mengenai pemilihan pemain import, Aminuddin berkata, buat masa ini ia belum diputuskan KFA namun perbincangan mengenainya sudah berada pada peringkat akhir dan hanya akan diketahui dalam tempoh terdekat.

“Kita harap senarai pemain yang bakal membarisi pasukan Hijau Kuning mampu beraksi dengan cemerlang sekali gus menjadi pasukan digeruni lawan seperti era 1990-an lalu,” katanya yang mengesahkan bekas penyerang Selangor, David Mitchell sebagai jurulatih musim depan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...