Tuesday, November 5, 2013

Dollah nafi khabar angin ganti Rajagobal

Sumber: Harian Metro

Kuantan: Jurulatih Pahang Dollah Salleh menafikan khabar angin beliau bakal menggantikan Datuk K Rajagobal mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Bekas pemain kebangsaan yang baru menyambut hari kelahiran ke-51 pada 23 Oktober lalu berkata, beliau tidak tahu menahu kononnya namanya disebut-sebut untuk mengantikan Rajagobal.



“Saya tidak tahu bagaimana timbul khabar angin saya akan mengendalikan skuad Harimau Malaya. Apa yang ingin saya jelaskan bahawa saya belum membuat sebarang keputusan musim depan.

“Sama ada akan kekal bersama Pahang musim depan atau tidak, saya hanya ingin meraikan kejuaraan bersama Pahang yang menanti selama 21 tahun untuk merampas kembali piala berprestij ini,” katanya semalam.


Dollah yang pernah membawa MPPJ Selanggor menjulang Piala Malaysia pada 2008 tidak mahu memberikan komen berhubung kedudukannya musim depan.


Ketika ini, beliau mahu bersama keluarga, pengurusan dan semua pemain meraikan detik bersejarah menjuarai trofi berprestij itu.

Difahamkan, Dollah yang pernah menjulang Piala Malaysia bersama Pahang pada 1992 turut disebut-sebut bakal melatih sebuah pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan.


Namun, segalanya akan terjawab bulan ini sama ada beliau akan kekal di Pahang atau beralih angin ke pasukan baru.

Pada aksi final kelmarin, Pahang muncul juara Piala Malaysia buat kali ketiga selepas 1983 dan 1992, hasil jaringan penyerang import dari Argentina, Matias Ruben Conti pada minit ke-58.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...