Wednesday, November 27, 2013

Giliran Nazri buat Selangor bengang

Sumber: Utusan
 
KUALA LUMPUR - Selepas Safee Sali, nasib malang terus menimpa Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) apabila kali ini giliran bekas rakan sepasukannya di Johor Darul Takzim (Johor DT), Mohd. Nazri Ahmad pula membuat pusingan U apabila memilih haluan bersama Kelantan.

Jika tindakan Safee mungkin boleh dimaafkan kerana hanya melakukan persetujuan secara lisan, Nazri pula dilihat seolah-olah mengundang bala apabila difahamkan telah menandatangani kontrak untuk bersama Selangor serta sudah menerima Sijil Perpindahan Negeri (SPN) dari Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

 
Apa yang dilakukan oleh Nazri itu jelas mencabar maruah FAS dan menurut Timbalan Presidennya, Datuk Mokhtar Ahmad, pemain berkenaan jelas tidak profesional memandangkan PBNJ juga telah membayar pampasan kepada Nazri kerana kontraknya hanya akan berakhir pada 30 November ini.

Justeru, beliau menegaskan FAS tiada pilihan lain kecuali membawa kes berkenaan kepada FAM bagi mendapatkan keadilan bagi memulihkan maruah yang tercalar kerana bagaikan ditipu oleh Nazri yang sebelum ini melafazkan janji untuk bersama Selangor.

''Saya dapat tahu yang Nazri mahu menyertai Kelantan dan perkara ini memeranjatkan saya kerana dia telah menandatangani kontrak dengan Selangor.

''Malah, kami telah menerima Sijil Perpindahan Kontrak (SPN) Nazri dari Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) dan dia memang sah milik Selangor bagi musim 2014.

''Ini adalah satu kesalahan yang serius dan menganggap kami seolah-olah tiada maruah dengan mudah mempermain-mainkan perjanjian telah dibuat, begitu senang dia buat pusingan U dengan tiba-tiba melakukan keputusan ke Kelantan, dia seperti tiada maruah, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Nazri menjadi salah seorang daripada 24 pemain Kelantan yang diperkenalkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di Wisma Majlis Amanah Raya (MARA) di Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas lebih lanjut, Mokhtar mengakui beliau tidak mahu menunggu terlalu lama untuk mengemukakan laporan dengan akan menghantarnya pada hari ini ke Wisma FAM supaya kes itu dapat disiasat secepat mungkin.

''Sudah tentu kami akan menghantar laporan kepada Jawatankuasa Status FAM kerana keadilan perlu ditegakkan dan laporan itu akan diserahkan pada hari esok (hari ini), saya harap FAM mampu memberikan penjelasan.

''Diharapkan tindakan tegas akan diambil sebagai satu pengajaran berguna kepada Nazri kerana dia telah membuat kontrak FAS seperti satu mainan bagi dirinya, " katanya.

Sebelum ini, dua pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar dan Norfazly Alias, membuatkan Irfan Bakti pening kepala apabila enggan menyertai mereka walaupun sudah menurunkan tandatangan di borang C-0/32.

Insiden pusingan U berterusan apabila Safee yang dikhabarkan mahu kembali bersama Selangor tiba-tiba membuat keputusan untuk kekal bersama Johor DT yang membuatkan Selangor tunduk kecewa.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...