Friday, November 1, 2013

2,000 polis berkawal pada final Piala Malaysia

Sumber: Bernama & Sinar Harian
 
SHAH ALAM - Kira-kira 2,000 anggota polis akan bertugas mengawal trafik dan keselamatan pada perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Pahang di Stadium Shah Alam Ahad ini.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata mereka akan dibantu kira-kira 500 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).


"Kami akan pastikan keselamatan penonton dan meminta kerjasama daripada penyokong kedua-dua pasukan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan serta jangan membawa barang larangan masuk ke dalam stadium.

"Pihak polis akan menahan mereka yang melakukan kesalahan selain memantau kegiatan jualan tiket palsu pada hari perlawanan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini.

Beliau berkata penonton akan diperiksa dengan menggunakan alat pengimbas yang akan dibantu unit kawalan anjing di semua pintu masuk stadium.

Abdul Rahim berkata kedudukan penyokong kedua-dua pasukan akan diasingkan iaitu Kelantan di bahagian kiri (menggunakan pintu A dan D) pintu masuk utama dan Pahang di bahagian kanan (menggunakan pintu B dan C).

"Begitu juga dengan tempat parkir, penyokong Kelantan dikhaskan di bahagian sebelah pasar raya besar Giant dan Pahang di Tapak Bazarena Stadium Malawati," katanya.

Beliau berkata bagi penyokong yang tidak mempunyai tiket tetapi masih ingin menyaksikan perlawanan, dua skrin besar akan disediakan di kawasan sekitar stadium, selain satu skrin di Dataran Shah Alam yang disediakan oleh MBSA.

Abdul Rahim berkata pintu masuk akan dibuka pada pukul 3 petang dan penonton boleh hadir lebih awal bagi mengelak kesesakan.

Sementara itu mengulas mengenai kemungkinan wujud kegiatan menjual tiket palsu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata wakil FAM akan memantau kegiatan itu dan dan memaklumkan kepada pihak polis.

"Kesemua 75,000 tiket yang diperuntukkan habis dijual," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...