Wednesday, November 6, 2013

Devan galas tugas kembalikan kegemilangan Harimau Kumbang

Sumber: Utusan Malaysia
 
KUALA LUMPUR - Bekas pengendali Selangor, K. Devan bakal menggalas tugas untuk mengembalikan kegemilangan skuad bola sepak Pulau Pinang, musim depan.

Pengurus pasukan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Aziz Shariff mengesahkan, Devan bakal membimbing skuad Harimau Kumbang itu untuk menghadapi saingan Liga Perdana 2014.


Pengesahan itu, sekali gus menjawab teka teki siapa yang bakal menggantikan jurulatih terdahulu, Merzagua Abderrazak dari Maghribi.

Ujar Aziz, pemilihan Devan berdasarkan reputasinya yang cemerlang ketika mengendalikan beberapa pasukan bola sepak tempatan. Beliau akan mengikat kontrak selama setahun.

"Kita tengok rekod K. Devan sangat baik dalam membentuk pemain sebelum ini dan corak strategi serta taktikalnya juga sangat digeruni.

"Selain itu, beliau juga boleh menerima keputusan bekas jurulatih musim lalu dengan mengekalkan beberapa bekas pemain sedia ada," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam. 

Devan pernah membantu Selangor menjuarai Liga Super 2009 serta menjulang Negeri Sembilan muncul juara Liga Super tahun 2005 dan 2006.

Beliau juga membawa skuad Rusa beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2006.

Tambah Aziz, pihaknya juga berhasrat untuk menyambung kontrak jurulatih baru itu sekiranya beliau dapat mengharumkan nama Pulau Pinang musim depan.

"Dengan adanya tenaga jurulatih berpengalaman ini, saya harap Pulau Pinang dapat menduduki empat pasukan teratas dalam Liga Perdana bagi melayakkan ke Piala Malaysia," katanya.

Mengulas mengenai pemain import, Aziz akan menyerahkan tugasan tersebut kepada Devan untuk membuat pilihan kelak, namun memberi ruang kepada pemain tempatan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...