Monday, November 18, 2013

FAM perlu jelas status

Sumber: Harian Metro

Rompin: “Saya mahu FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) menjelaskan status serta kedudukan sebenar saya dan memulangkan semula wang RM39,000,” kata bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim.

Katanya, apabila Artikel 88 dipinda selepas ahli gabungan bermesyuarat pada Kongres Tahunan FAM Ogos lalu, beliau tidak menerima sebarang kenyataan rasmi daripada badan induk itu mengenai kedudukannya hingga kini.



Menurutnya, selepas artikel itu dipinda, hukuman yang dijatuhkan sebelum ini sepatutnya dibatalkan dan FAM perlu memulangkan semula denda yang dikenakan namun apa yang dikesalkan hingga kini FAM hanya berdiam diri.

“Seperti ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), apabila kerajaan mengambil keputusan untuk memansuhkannya, semua tahanan dibebaskan walaupun ada di antara mereka masih mempunyai baki hukuman.

“Begitu juga dengan kedudukan saya. FAM sepatutnya membatalkan semua hukuman yang dijatuhkan sebelum ini selepas Artikel 88 dipinda jadi saya mohon FAM menjelaskan status saya,” katanya ketika ditemui selepas Program Jiwa Murni Mega dan Pelancaran Program Sahabat Maritim, semalam.


Shahidan digantung 30 bulan daripada membabitkan diri dalam sebarang aktiviti bola sepak dan dikenakan denda keseluruhan RM39,000 selain FAM menetapkan beliau tidak boleh mengemukakan sebarang rayuan berhubung hukuman itu.

Selain Shahidan, individu lain yang dikenakan hukuman kerana melanggar Artikel 88 di bawah Statut FAM 2010-2014 adalah bekas Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang kini menjalani hukuman penggantungan kerana mengkritik FAM.

Pada masa sama beliau juga menggesa FAM memulangkan semula wang denda sebanyak RM39,000 yang dikenakan terhadapnya kerana wang itu mahu disedekahkan kepada anak yatim jika dipulangkan.

Selain itu, beliau berkata FAM tidak sepatutnya mudah melenting apabila dikritik kerana ada sesetengah kritikan itu bersifat membina demi kebaikan badan induk itu sendiri.

“Janganlah baru ditegur sedikit terus melenting dan ‘terlompat’ sana sini sebaliknya perlu bersifat lebih terbuka dan boleh menerima segala teguran dan kritikan yang membina kerana ia demi masa depan bola sepak negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...