Friday, November 1, 2013

Semangat Elephant Army kibar kain rentang

Sumber: Harian Metro

Foto

Kuantan: Demi memastikan impian merangkul Piala Malaysia buat kali ketiga menjadi kenyataan, penyokong Tok Gajah yang menggelarkan diri mereka Elephant Army (EA) sanggup mengeluarkan modal menyediakan kain rentang sepanjang 25 meter dan lebar 15 meter untuk membakar semangat pemain apabila bertemu Kelantan di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Wakil EA, Mohd Hafeez Jamaludin berkata, perbelanjaan menyediakan kain rentang yang tertulis kata-kata semangat itu diharap berbaloi sekiranya Pahang muncul juara Piala Malaysia buat kali ketiga. 



Katanya, pada aksi final, seramai 2,000 penyokong EA akan berada di Stadium Shah Alam untuk memberikan sokongan padu kepada skuad kendalian Dollah Salleh itu.
“Dengan memakai baju berwarna kuning yang ditempah khas, kami juga mengharapkan penyokong Pahang yang turut berada di stadium nanti bersama memeriahkan suasana sepanjang perlawanan berlangsung. 

“Jika boleh semua penyokong Pahang dapat bersama menyanyi dan menyemarakkan lagi semangat barisan Tok Gajah bergelar juara,” katanya.

Mohd Hafeez berkata, pihaknya juga meminta penyokong yang hadir dapat menjaga displin sepanjang perlawanan berlangsung terutama tidak membaling sebarang objek bukan saja di padang malah kepada penyokong lawan.

Katanya, sebarang jenis mercun juga tidak dibawa masuk ke stadium kerana tidak mahu mengganggu kelancaran perlawanan.

“Sebagai penyokong, kita perlu mematuhi arahan diberikan pihak berkuasa kerana tidak mahu melihat kejadian tidak diingini terutama ada penyokong pengsan atau mengalami kecederaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...