Sumber: Utusan
DUA bulan lalu tiada sesiapa pun di negara ini memikirkan siapa Datuk Dr. Noordin Ahmad dan FC Bari 1908. Bagaimanapun semuanya berubah selepas nama Noordin mula menjadi sebutan media Itali sebelum impaknya melimpah ke negara ini.
Keputusan Noordin, 59, membeli kelab bola sepak Serie B itu pada 8 April lalu telah membuatkan beliau dikenali di negara ini dan di Itali dalam sekelip mata. Enjin carian internet seperti Google bagaikan dikerah bekerja keras untuk mencari jawapan siapa sebenarnya Noordin namun hingga kini maklumat berhubung pemilik FC Bari itu terhad berikutan sikap low profile jutawan Malaysia berkenaan.
Menerusi pemilikan baharu ini, Noordin menjadi pemegang saham majoriti Bari dengan 50 peratus, Presiden FC Bari 1908, Gianluca Paparesta mengekalkan 45 peratus manakala Cosmo Giancaspro kekal dengan pemilikan lima peratus.
Noordin yang berasal dari Manjoi, Perak memilih untuk membeli Bari bukan sekadar kerana minatnya terhadap bola sepak tetapi kerana ingin membalas budi rakyat Itali yang menyelamatkan nyawanya ketika mengalami serangan jantung 10 tahun lalu.
Dalam satu sidang akhbar di Bari baru-baru ini, Noordin memberitahu dia mengalami serangan jantung ketika sambutan Krismas di Itali dan kecekapan doktor perubatan negara itu merawatnya membuatkannya berhutang budi sekali gus berazam untuk melakukan sesuatu bagi membalas budi rakyat Itali.
Pembelian Bari oleh Noordin bagaikan memberi satu nafas baharu buat kelab dari selatan Itali itu yang dihimpit dengan masalah kewangan kritikal walaupun ada yang mempersoalkan tindakannya kerana membeli kelab yang sekadar bermain dalam Serie B, bukannya liga utama Serie A. Ada juga yang memikirkan keputusan Noordin itu mampu merugikannya kerana Bari adalah kelab yang sentiasa berhadapan dengan masalah kewangan.
Bagaimanapun, apa yang dilakukan oleh Noordin boleh dianggap tepat pada masanya kerana ketika ini Bari berada dalam kelompok lima terbaik dalam persaingan Serie B selepas 42 perlawanan sekali gus berpeluang untuk merebut salah satu slot dalam liga utama Serie A menerusi perlawanan playoff. Kali terakhir Bari beraksi dalam saingan Serie A adalah pada musim 2010/2011.
Stadium San Nicola yang merupakan gelanggang Bari, merupakan antara stadium terbesar di Itali. Boleh memuatkan 58,270 penonton, stadium pelbagai guna itu siap dibina pada 1990 untuk menjadi salah satu gelanggang perlawanan Piala Dunia tahun itu. Menariknya, stadium itu boleh dikatakan hampir penuh setiap kali perlawanan melibatkan Bari dan mencatatkan purata kedatangan penonton paling besar dalam liga Itali sungguhpun pasukan mereka hanya beraksi dalam divisyen dua.
Malah tiada yang merugikan buat Noordin apabila membeli FC Bari pada April lepas tambahan pula harga yang ditawarkan kepadanya juga amat memadai iaitu sekitar RM54 juta.
Bukan itu sahaja, membeli kelab itu juga mampu membuka laluan perniagaan buat ahli perniagaan seperti Noordin. Noordin dilihat sebagai seorang ahli perniagaan berpandangan jauh apabila memilih kelab itu, yang terletak di bandar industri terbaik di Itali.
Bandar Bari amat terkenal sebagai salah satu daripada dua pusat ekonomi terpenting di selatan Itali selepas Naples dengan populasi penduduk sebanyak 326,799 orang.
Memiliki kelab Itali itu juga boleh dijadikan serampang dua mata oleh Noordin, yang dilaporkan memiliki butik di ibu negara Itali, Rom, kerana ini akan membolehkan beliau melebarkan empayar perniagaan di bandar yang dianggap sebagai ‘California of the South’ berikutan pembangunan hebatnya di dalam Itali.
Lokasi geografi Bari yang terletak berhadapan Lautan Adriatic memberikannya banyak kelebihan dari aspek ekonomi dan pelancongan di bandar tersebut. Sebagai bandar komersial dan industri di Itali, Bari mempunyai ciri-ciri diinginkan oleh seorang ahli perniagaan seperti Noordin yang terlibat dalam industri minyak dan gas, pertahanan serta fesyen.
Ketika ini penyumbang utama ekonomi Bari adalah petroleum, mesin, percetakan dan tekstil dan ahli perniagaan pasti mahu meneroka segala peluang. Selain berupaya meluaskan perniagaan di Itali, Noordin juga mempunyai misi murni dalam membantu bola sepak di negara ini dengan memiliki FC Bari.
Pada Khamis lepas Noordin mengakui tujuan utamanya memilih kelab tersebut adalah untuk memberi peluang kepada anak muda di negara ini menimba pengalaman bersama Bari bermula dengan pemain dari Kelantan.
“Mungkin kita boleh bawa tiga pemain terbaik Kelantan menjalani latihan di sana, mesti yang terbaik. Saya mahu beri masa depan cerah kepada pemain. Mungkin selepas ini ada pemain kita yang dapat beraksi di kelab Jerman, Sepanyol atau Perancis,” kata Noordin.
Ini bukan kali pertama ahli perniagaan Malaysia membuat pelaburan dengan kelab luar apabila Tan Sri Anthony Fernandes membeli kelab Inggeris Queens Park Rangers (QPR). Pengerusi Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan pula menjadi pemilik Cardiff City, yang kini bersaing bersama QPR dalam Liga Kejuaraan, pada Mei 2010 selain turut membeli kelab juara Liga Bosnia, FK Sarajevo.
No comments:
Post a Comment