Sumber: Harian Metro
Kota Bharu: Pemain Kelantan digesa bangkit menuntut bela atas dua kekalahan lalu dengan menjadikan Johor Darul Ta’azim (Johor DT) sebagai mangsa ketika kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam ini.
Pemangku ketua jurulatih Kelantan Zahasmi Ismail menganggap perlawanan itu sebagai final kerana skuad Harimau Selatan yang dibarisi ramai pemain bertaraf bintang pasti berusaha mengekalkan takhta Liga Super.
Pengendali berusia 47 tahun itu berpendapat, Johor DT pasti menurunkan kesebelasan pemain terbaik dalam pertemuan itu namun Kelantan tidak akan mudah menyerah kalah.
Zahasmi berkata, mereka tidak mahu episod kekalahan terus melebar kerana sepanjang baki perlawanan Liga Super musim ini, mereka bakal berdepan pasukan handalan seperti Johor DT, Selangor dan Sarawak.
Katanya, walaupun agak perit untuk mencatatkan keputusan positif, pemburuan tiga mata perlu dilaksanakan jika ingin berada dalam kelompok tujuh pasukan terbaik.
“Atas kertas, kami bukan pasukan pilihan namun selaku pemain Kelantan, kami perlu memastikan misi dan visi kami terlaksana dalam pertemuan menentang Johor DT itu.
“Pertemuan Kelantan dan Johor DT diibarat langit dengan bumi kerana pasukan kami serba kekurangan jika dibandingkan skuad kendalian Mario Gomez yang memiliki ramai pemain bertaraf lima bintang seperti Mohd Safiq Rahim, Mohd Amri Yahyah, Luciano Figueroa, Safee Sali dan Hariss Harun,” katanya.
Kelantan perlu menang pertemuan itu jika ingin menempatkan diri dalam tujuh pasukan terbaik Liga Super manakala Johor DT juga mahu menang bagi terus memastikan kedudukan selaku pendahulu Liga Super menjadi milik mereka.
Johor DT sedang mengungguli takhta liga dengan 43 mata diekori Pahang (42 mata) manakala Kelantan pula masih kekal pada tangga kesembilan dengan 22 mata.
Zahasmi berkata, semua pemain bersemangat untuk diturunkan termasuk Amiridzwan Taj Tajuddin yang sebelum ini digantung satu perlawanan kerana tiga kad kuning.
Katanya, Amiridzwan Taj dijangka bergandingan dengan Jonathan McKain, Mohd Farisham Ismail, Nik Mohd Shahrulazim dan Zairul Fitree Ishak.
“Wan Zack Haikal dan Wan Zaharulnizam akan terus dijadikan taruhan berikutan kedua pemain itu mampu mengkucar-kacirkan benteng pertahanan lawan sebelum ini.
“Kami harus berusaha mengutip tiga mata ketika bertemu Johor DT, malam esok (ini) dan berharap semua pemain memberi satu persembahan baik bagi mengubat kedukaan lalu,” katanya.
No comments:
Post a Comment