Saturday, August 15, 2015

Dollah panggil Titus

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Titus James Palani yang kini berada di Perancis sudah boleh mula mengemas beg pakaiannya apabila pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh bersedia untuk menguji tahap permainannya sebelum boleh menyenaraikannya ke dalam skuad kebangsaan.

Dengan tugasan paling hampir kelayakan Piala Dunia 2018 dan Asia 2019 yang akan bersambung pada awal bulan depan, Dollah mahu melihat kelibat anak tempatan itu terlebih dahulu dalam latihan pusat skuad negara yang dijangka bermula 23 Ogos ini di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Kelana Jaya.
Katanya, beliau sama sekali tidak mengetahui kemampuan dan kebolehan pemain berusia 28 tahun itu dan berharap dapat menilainya pada sesi latihan yang akan dijalankan kelak.



“Kita tiada halangan untuk membenarkannya mencuba bersama skuad negara, tetapi dia (Titus) kena buktikan dulu persembahannya kepada saya dan barisan kejurulatihan nanti.

“Saya sendiri tidak tahu dia bermain macam mana serta statusnya dengan kelab diwakili sama ada beraksi di liga utama atau bawahan, saya memang tidak tahu.

“Jadi, baik rasanya kita uji dia dulu dan saya boleh beri dia peluang untuk buktikan kepada kami (barisan kejurulatihan). Kita tidak boleh senang-senang ambil kerana sejujurnya kita tak tahu mengenai kemampuannya.

“Macam saya katakan tadi, saya pun ingin melihat aksinya sendiri di depan mata selepas itu baru kita akan buat keputusan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, Arena Metro mendedahkan tentang hasrat pemain tengah kelab Normandy FC di Ligue-3, Perancis itu yang bersedia untuk diuji sekiranya khidmatnya ditagih skuad negara.

Dia yang pernah menggemparkan peminat bola sepak tempatan apabila memecah rekod menimang bola paling banyak pada usia muda, dihantar berkelana di luar negara dan menjadikan Perancis sebagai destinasinya walaupun ketika itu usianya baru mencecah 13 tahun.

Berdasarkan pengalaman luasnya selama 15 tahun di saingan Eropah, dia dilihat antara prospek terbaik buat Dollah bagi menguatkan barisan pasukannya terutama sebagai persediaan sebelum turun berdepan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 3 September depan.

“Kelayakan Piala Dunia dan Asia akan bersambung bulan depan, walaupun namanya tiada dalam senarai, tetapi dia boleh hadir untuk jalani latihan.

“Ingin saya tegaskan, biarpun dia sudah lama beraksi di luar itu bukan jaminan tempatnya sudah ada, tetapi perlu tunjukkan kepada kami yang dia lebih baik daripada pemain tempatan kerana itu kita mahu mengujinya,” katanya.

Malaysia yang tewas 0-6 kepada Palestin dan seri 1-1 bertemu Timor Leste pada aksi kelayakan Jun lalu, akan meneruskan saingan peringkat kumpulan A bertemu UAE sebelum diikuti pertemuan menentang Arab Saudi (8 September).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...