Monday, August 20, 2012

Cuma gantung satu perlawanan

Mohammad Ghaddar (kanan) digantung satu perlawanan dan didenda RM2,000 atas pergaduhan dengan pemain Selangor.


KUALA LUMPUR - Pemain import Kelantan, Mohammad Ghaddar terselamat daripada dikenakan hukuman yang lebih berat apabila Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya mengenakan penggantungan satu perlawanan dan denda RM 2,000.

Menurut pengerusinya, Datuk Taufik Abdul Razak, pemain yang berasal dari Lebanon itu didapati bersalah di bawah Kod 2.4 Tataetika FAM 2012 kerana tidak mempunyai semangat kesukanan apabila mengasari pemain lawan, Bunyamin Omar pada perlawanan Kelantan berdepan Selangor dalam satu perlawanan Liga Super pada 29 Jun lalu.



''Ghaddar telah hadir pada perbicaraan ini dan mengaku tidak bersalah dalam sesi bela diri tetapi pandangan ahli jawatankuasa berpendapat memang ada kesalahan yang dilakukan dalam kes ini.

''Daripada apa dilihat dalam tayangan video, Ghaddar sengaja memulakan sentuhan fizikal dengan menggunakan tangan untuk memukul bahagian tepi kiri pemain Selangor (Bunyamin Omar).

''Setelah berbincang secara mendalam, kami memutuskan Ghaddar akan digantung satu perlawanan dan didenda sebanyak RM 2,000 serta diberi amaran keras agar insiden ini tidak berulang lagi, " katanya di Wisma FAM, semalam.

Jelasnya lagi, tidak timbul isu pilih kasih dalam soal ini biarpun hukuman yang diterimanya tidak seberat dua pemain Selangor.

Jawatankuasa Tatatertib katanya, mempunyai 'peruntukan khusus' untuk mengetepikan hukuman asal dalam fasal perkara 2.4.

''Kekasaran yang dilakukan oleh Ghaddar boleh ditakrifkan lebih rendah berbanding dengan apa yang dilakukan oleh pemain Selangor kepadanya.

"Sebab itu bentuk hukuman yang diperoleh oleh Ghaddar berbeza.

''Pihak Jawatankuasa Tatatertib juga boleh mengetepikan hukuman minimum yang ditetapkan dalam peruntukan ini seperti mana yang diperolehi oleh Bunyamin dan Mohd. Amri Yahyah.

''Jangan lupa jawatankuasa ini juga pernah menggunakan kuasa untuk menggunakan peruntukan khusus pada kes Wan Jamak Wan Hassan dan Abdul Rahman Ibrahim," katanya.

Sebelum ini, Bunyamin dan Amri dikenakan penggantungan tiga perlawanan dan denda RM 1,500 pada 7 Ogos baru-baru ini selepas didapati bersalah melakukan kekasaran melampau apabila Bunyamin telah menumbuk dua kali pemain Lebanon itu sementara Amri telah memijak belakang Ghaddar.

Dalam kes berlainan, Taufik juga mengumumkan tiga pegawai pasukan Liga Super Pahang dikenakan hukuman penggantungan satu perlawanan dan denda RM 1,000.

Ketiga-tiga mereka didapati bersalah mempertikaikan keputusan pengadil pada aksi perlawanan playoff Liga Super antara Pahang dan Kedah pada 19 Julai lalu.

Tiga pegawai Pahang yang dimaksudkan ialah pengurus, Datuk Che Nasir Salleh, penolong pengurus, Zainal Abidin Hassan dan ahli fisioterapi pasukan Tok Gajah.

''Mereka bertiga mengaku bersalah dan setelah berbincang mendalam rayuan yang mereka kemukakan, kami memutuskan peruntukkan sedia ada.

''Kes ini dikendalikan oleh timbalan saya iaitu Ednan Othman memandangkan saya sendiri mempunyai kepentingan dalam hal ini kerana saya merupakan salah seorang ahli majlis Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP)," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...