Monday, August 20, 2012

Mohd Afiq perlu masa cari keserasian


Harian Metro

PENYERANG Kuala Lumpur yang dipinjamkan ke Kelantan bagi menghadapi kempen Piala Malaysia, Mohd Afiq Azmi mengakui masih memerlukan masa untuk membentuk keserasian lebih mantap bersama pemain pasukan barunya itu.

Bagaimanapun, dia yang mula menjalani latihan sejak 28 Julai lalu cepat menyesuaikan diri dalam pasukan The Red Warriors (TRW) yang bakal berdepan cabaran Terengganu pada saingan pertama peringkat Kumpulan B kempen Piala Malaysia, 22 Ogos ini. “Saya masih mencari rentak bersama TRW yang diundi dalam kumpulan maut bersama Terengganu, Kedah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi kempen Piala Malaysia musim ini.



“Saya harap dapat memantapkan keserasian bersama rakan dalam sepasukan sebelum memulakan aksi kempen Piala Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan antara Kelantan dengan pasukan Pattani FC dari Thailand di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, kelmarin. Mohd Afiq mengakui kini lebih yakin kerana rakan sepasukan banyak membantunya, malah memudahkannya membentuk keserasian lebih mantap sebelum kempen bermula.

Malah, penyerang tinggi lampai itu membuktikan sentuhannya apabila meledak hatrik membantu kemenangan 3-0.

Katanya, dia perlu banyak belajar dan mendapat bantuan daripada rakan sepasukan untuk memantapkan ketajaman.

“Saya gembira kerana mampu menjaringkan tiga gol untuk membantu Kelantan menewaskan Pattani FC,” katanya.

Mohd Afiq yakin Kelantan mampu melangkah lebih jauh berbanding suku akhir musim lalu berdasarkan aksi konsisten pasukan gergasi pantai timur itu.

“Kita kena fokus sepenuhnya kepada perlawanan kerana lawan seperti Terengganu, Kedah dan ATM mempunyai kekuatan tersendiri,” katanya.


1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...