Sumber: Harian Metro
Kemenangan ke atas pendahulu Liga Super, Terengganu kelmarin membuktikan pasukan yang bergelut di zon penyingkiran, Sime Darby FC masih belum menyerah kalah dalam saingan kempen musim ini.
Tiga mata penuh diraih anak buah Ismail Zakaria selepas menumpaskan Terengganu, 3-2 di laman sendiri membolehkan mereka mencatat dua kemenangan berturut-turut buat kali pertama musim ini sekali gus melonjak ke tangga kesembilan liga dengan mengumpul 10 mata.
Ia satu peningkatan mendadak buat Sime Darby selepas sekian lama terperosok di dasar liga apatah lagi kemenangan itu diraih ketika mereka terpaksa beraksi 10 pemain selepas kehilangan pemain pertahanan William Mensah yang menerima kad merah pada minit ke-67.
“Kemenangan ke atas pasukan di tangga teratas penting buat kami meneruskan cabaran dalam liga.
Ini membuktikan kami masih belum menyerah kalah dan berusaha terus kekal dalam liga.
Apa yang membanggakan, dengan 10 pemain kami masih mampu meraih tiga mata penuh menerusi jaringan pemain tempatan,” kata Ismail.
Pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu, skuad diberi jolokan Pembunuh Gergasi itu menghasilkan gol menerusi Nazrul Kamaruzaman, Fazrul Hazli Kadri dan Farid Ramli manakala pasukan pelawat kendalian Abdul Rahman Ibrahim cuba bangkit menerusi jaringan Ismail Faruqi dan Norfarhan Mohammad.
Bagaimanapun Sime Darby yang baru dinaik taraf ke Liga Super tidak mempunyai banyak masa untuk meraikan kemenangan itu kerana mereka terus bertandang ke Kuala Terengganu semalam bagi menghadapi perlawanan menentang pasukan ‘adik’ Terengganu, T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, esok.
Ismail sedar ia bukan perlawanan mudah memandangkan T-Team kini menduduki tangga terbawah liga dan pasti mahu memungut mata untuk keluar daripada zon penyingkiran.
“Kami tidak boleh ambil mudah kerana mana-mana pasukan boleh melakukan kejutan.
Saya mahu semua pemain berjuang habis-habisan untuk membawa pulang tiga mata lagi.
Jika menang, kami semakin hampir dengan pasukan atas liga,” katanya.
No comments:
Post a Comment