Pemain T-Team, Patrich Steev Wanggai (kanan) ditenangkan rakan sepasukan apabila berang dengan pengadil perlawanan, Mohammad Zamzaidi Katimin (kiri) yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya pada perlawanan Liga Super menentang Perak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin. - AZLAN BAHRUM |
Sumber: Utusan Malaysia
KUALA TERENGGANU - Saingan Liga Super antara pasukan berstatus kelab, T-Team menentang Perak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin mencetus kontroversi berikutan berlaku pertelingkahan kecil di antara pengadil dan pemain The Titans, Patrich Steve Wanggai pada minit-minit terakhir sebelum tamat perlawanan.
Wanggai, 25, mendakwa, pengadil, Mohammad Zamzaidi Katimin telah mencemari imej pertandingan rasmi bola sepak ekoran sikap tidak profesionalnya memaki serta mengeluarkan kata-kata kesat ke atas pemain semasa perlawanan berlangsung.
Sebagai pengadil, sepatutnya dia bersikap neutral pada setiap masa sepanjang perlawanan dan amatlah tidak wajar bagi pegawai perlawanan sepertinya menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada saya.
Barangkali dia marah pada saya atas beberapa sebab tetapi itu bukan alasan yang kukuh untuk dia memaki saya," kata pemain import dari Indonesia itu.
Dalam saingan kelmarin, dua pasukan tercorot Liga Super, T-Team dan Perak mencatat keputusan seri 1-1.
Pelawat yang mempamerkan aksi garang, berpeluang mendahului pada minit ke-78 menerusi rembatan cantik pemain gantian, G. Mugenthirran dan berselang tiga minit, pemain The Titans, Mohd. Ramzul Zaihani Adenan berjaya mengikat kedudukan 1-1 selepas menumbangkan gawang gol Perak.
Wanggai memberitahu, dia masih boleh menerima jika tindakan tidak bertanggungjawab tersebut dicetuskan pihak lawan kerana sememangnya mereka mahu menguji dan menggusarkan pasukan yang ditandingi.
Malangnya, tindakan itu datang daripada pengadil sendiri dan ini sekali gus memberi gambaran ada sesuatu yang tidak kena dengan pengadil tersebut," katanya.
Wanggai yang kesal dengan insiden itu berkata, ini bukan kali pertama kejadian tersebut berlaku ke atas dirinya. Dia pernah dihambur dengan kata-kata kesat ketika pertama kali beraksi dalam perlawanan rasmi di negara ini.
Bagaimanapun, dia tidak menyangka perkara itu berulang lagi.
Penyerang tersebut berkata, pihak pengurusan telah dimaklumkan dengan insiden itu sekali gus menyerahkan kepada mereka untuk tindakan selanjutnya dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Setiap pemain berusaha keras untuk menaikkan prestasi pasukan yang kini menghuni tangga tercorot Liga Super dan apa yang terjadi ini tidak membantu usaha kami itu
Insiden yang menimpa Evaldo Rodrigues semasa perlawanan Piala FA di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Johor Bahru baru-baru telah memberi kesan buruk kepada kami dan tidak sangka kini ia berlaku kepada saya pula," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) T-Team, Syahrizan Ismail berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung insiden yang menimpa Wanggai dan akan menyiasat perkara tersebut sebelum dilanjutkan ke pihak atasan.
No comments:
Post a Comment