Sunday, March 6, 2016

Tok Gajah terus malang

Sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR - Pahang semakin parah apabila tersingkir daripada sai­ngan Piala FA semalam, malah malang turut dikongsi oleh Felda United yang ditunjukkan jalan keluar oleh PKNS FC.

Kuala Lumpur, Perak, Sabah, PKNS FC dan Sime Darby, sebaliknya melengkapkan slot suku akhir untuk mengiringi Johor Darul Ta’zim (JDT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kedah, yang sudah terlebih dulu menempah tiket mereka, kelmarin.

Turun dengan status juara dua kali iaitu pada 2006 dan 2014, Tok Gajah meneruskan prestasi buruk Liga Super dalam saingan Piala FA apabila dikejutkan oleh kelab Liga Perdana, Sime Darby 0-1 di Stadium Darul Makmur.



Pemain tengah, Syed Sobri Syed Mohamad muncul wira Sime Darby apabila meledak gol tunggal kemenangan seawal minit kelima permainan.

Sementara itu, Felda United yang baru melepaskan takhta Liga Super kepada JDT, Selasa lalu, dihukum oleh PKNS menerusi kekalahan 3-2 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Naib juara 2014 itu memulakan saingan dengan langkah kanan apabila terlebih dulu membuka jaringan menerusi penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe pada minit ke-15.

Begitupun, tiga gol yang diperoleh PKNS pada babak kedua menerusi Gabriel Guerra (m49), Matias Nicholas (m65) dan Mohd. Nazrin Syamsul Bahri pada minit ke-69 memastikan kemenangan tuan rumah. Felda cuba merapatkan jurang menerusi Mohd. Hadin Azman di minit ke-76, tetapi gol tersebut gagal membantu The Fighters.

Di Stadium Likas, Sabah melangkah ke suku akhir buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun sejak 2008 apabila menumpaskan Ang­katan Tentera Malaysia (ATM) 2-1.

Dua jaringan Sabah diperoleh menerusi penyerang import dari Nigeria, Prince Nnake minit ke-12 dan pemain tengah, Maxsius Musa di minit ke-46, manakala gol tunggal ATM dihasilkan Muhammad Faiz Ibrahim pada minit ke-22.

Di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Kuala Lumpur tidak menghadapi masalah beraksi di tempat lawan apabila menumpaskan tuan rumah, Perlis 2-0 dalam aksi panas yang menyaksikan dua kad merah dilayangkan pengadil.

Dua jaringan skuad City Boys diperoleh menerusi Fahrul Razi Kamaruddin pada minit ke-19 iaitu sebelum rakan sepasukannya, Mario Karlovic menerima kad merah pada minit ke-46 dan Muhamad Hafiz Mohd. Johar melengkapkan kedudukan 2-0, minit ke-46.

Satu lagi kad merah dilayangkan kepada pemain tuan rumah, Azmizi Azmi pada minit ke-81.

Di Stadium Perak, Ipoh, Bos Gaurus berjaya memanfaatkan ke­lebihan beraksi di laman sendiri untuk meraih kemenangan 1-0 ke atas Kuantan FA menerusi gol tunggal Vokhid Sodhiev pada minit ketiga.

Undian suku akhir akan diadakan pada pukul 9.30 pagi ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...