Sumber: Harian Metro
Seremban: Negeri Sembilan memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 5-0 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Biarpun beraksi di hadapan seramai 7,000 penonton skuad Hobin Jang Hobin bergelut untuk menembusi benteng pertahanan pelawat pada separuh masa pertama.
Malah, minit ke-9 gawang tuan rumah nyaris dibolosi gara-gara kesilapan bahagian benteng namun tendangan Venice Elphi gagal mengatasi Syed Adney Syed Hussain walaupun berdepan satu dengan satu.
Anak buah Gary Phillips yang turun dengan misi melakar kemenangan pertama di laman sendiri musim ini mencipta beberapa peluang namun jentera serangan diketuai Andrew Nabbout dan Joel Chianese gagal menemui sasaran.
Usaha mendapatkan gol akhirnya berhasil apabila Alexander Smith menanduk masuk bola tendangan sudut Khairul Anuar Shahrudin pada minit ke-50.
Minit ke-53, bagaimanapun ATM beraksi dengan 10 pemain apabila Raja Mohd Ridzuan Effendy dilayangkan kad merah oleh pengadil Ahmad Farees Mat Suburi selepas mengutip dua kad kuning.
Chianese melebarkan lagi jurang tuan rumah apabila menolak masuk bola hantaran lintang Khairul Anuar untuk gol kedua m-59.
Chianese terus menjadi duri dalam daging buat pertahanan ATM apabila menjaringkan gol ketiga NS dengan memanfaatkan hantaran lintang Nabbout, pada minit ke-71.
Mohd Norhafizzuan kemudiannya menambah derita ATM apabila menyepak kemas dari jarak 15 meter untuk gol ke empat NS pada minit ke-80.
Anak buah Azuan Zain yang tertekan terus membuat kesilapan apabila pemain pertahanan Badrul Hisham menjaringkan gol sendiri selepas tertanduk bola sepakan Chianese m-87 untuk gol kelima NS.
No comments:
Post a Comment