SUMBER: UTUSAN
KUALA LUMPUR - Belumpun reda isu tangan hitam dan tunggakan gaji lima bekas pemain, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menerima satu lagi tamparan hebat apabila bekas penyerang import mereka Erwin Carrillo mengheret persatuan itu ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Carrillo, 32, yang mewakili Kelantan selama semusim pada 2015 mendakwa, bekas majikannya itu masih mempunyai tunggakan hutang dengannya selama tiga bulan gaji yang melibatkan jumlah AS$55,000 (RM224,000).
“Ya memang benar bekas majikan saya masih berhutang dengan saya.
“Mereka masih belum membayar gaji saya sebanyak tiga bulan dan jumlah
keseluruhan bernilai AS$55,000.
“Saya ada bertanya kepada mereka, tetapi mereka selalu cakap tiada duit.
“Sejak September lalu mereka cakap mahu menyelesaikan perkara ini tetapi tiada sebarang tindakan.
“Saya juga tahu masih ada beberapa bekas pemain Kelantan yang senasib dengan saya.
“Bagaimanapun peguam saya sudah mengambil alih kes ini dan dia juga sudah membuat laporan kepada FIFA tetapi saya tidak ingat tarikh spesifik, mungkin pada penghujung Februari,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Selain Carrillo yang kini menyarung jersi Real Cartagena, kelab Colombia, turut berdepan masalah tunggakan gaji dengan Kelantan adalah Amiridzwan Taj Tajuddin, Mohd. Fitri Omar, Amar Rohidan, Ahmad Fakri Saarani dan Muhammad Nazri Ahmad.
Jumlah tunggakan gaji keseluruhan yang melibatkan lima bekas pemain tempatan Kelantan adalah RM477,000.
Selain berdepan dengan masalah tunggakan gaji, Kelantan turut dilihat bergelut dengan masalah prestasi yang tidak menentu dalam saingan Liga Super.
Pengurusan Kafa dikejutkan dengan dakwaan wujudnya campur tangan pihak luar yang disifatkan sebagai ‘tangan hitam’ sehingga menjejaskan prestasi mereka musim ini.
Semua masalah ini jelas memberi tekanan kepada Kafa yang perlu menanganinya dengan segera.
No comments:
Post a Comment