Sumber: Utusan
KUALA LUMPUR 22 April – Melaka bangkit daripada kejutan pada minit pertama untuk menjadi pasukan pertama menumpaskan Kuala Lumpur dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Hang Jebat malam ini sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu.
Perlawanan antara dua pasukan teratas carta liga itu menyaksikan Melaka dibolosi seawal minit pertama oleh Casagrade tetapi Ilija Spasojevic meredakan penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-28.
Jasmir Mehat kemudian menambah gol kedua hanya tiga minit kemudian dan jaringan itu sudah cukup untuk memastikan Melaka mengutip mata penuh serta mengekalkan rekod satu-satunya pasukan yang belum kalah dalam Liga Perdana selepas sembilan perlawanan.
Melaka kini mengumpul 21 mata, tiga mata di hadapan Kuala Lumpur yang sebelum itu hadir ke Stadium Hang Jebat dengan hanya dipisahkan oleh jaringan gol dengan tuan rumah.
Negeri Sembilan pula menewaskan Perlis 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dalam perlawanan yang terganggu selama 42 minit apabila lampu limpah di salah satu menara terpadam pada minit ke-13.
Gol pertama Negeri Sembilan dijaringkan oleh Alexander Moreton Smith pada minit ke-37 dan hanya dua minit kemudian mereka mendahului 2-0 menerusi jaringan Taylor Francis Regan.
Edward Junior Wilson merapatkan kedudukan untuk Perlis pada minit ke-43 tetapi tuan rumah kembali selesa pada babak kedua menerusi jaringan Joel Chianese Joseph pada minit ke-68.
Perlis berpeluang merapatkan jurang gol pada minit ke-74 namun tendangan Kayne Vincent berjaya diselamatkan penjaga gol Syed Adney Syed Hussein.
Kemenangan itu menyaksikan Negeri Sembilan melonjak ke tempat kedua liga, hanya mengatasi Kuala Lumpur menerusi perbezaan gol manakala Perlis kekal di tempat kesembilan.
Sementara itu, di Stadium Darul Makmur, Kuantan terus menambah derita Sime Darby yang masih buntu mencari kemenangan kedua apabila menewaskan pasukan itu 4-2.
Malah, Seagulls sudah pun mendahului 1-0 ketika permainan baru berlangsung 40 saat menerusi jaringan penyerang Abdul Malik Mat Arif, yang menjaringkan gol keduanya pada minit ke-13. Dua lagi gol Kuantan diperoleh menerusi percubaan Mohd. Fikri Abdullah (m-13) dan Srdjan Vidakovic (m-82).
Giant Killers berusaha memberikan persaingan tetapi hanya mampu membalas menerusi jaringan Meteo Roskam (m-12) dan Frederic Pooda (m-74).
UiTM, yang garang pada awal musim dengan dua kemenangan berturut-turut, kelihatan sukar menemukan semula prestasi itu apabila kalah 0-3 kepada PKNS di laman sendiri.
Perlawanan di Stadium UiTM, Shah Alam itu menyaksikan PKNS memperoleh kesemua golnya pada babak kedua menerusi Juan Manuel Cobelli (m-54 dan 63) serta Gabriel Guerra (m-68).
Kejayaan besar Red Ants ini pasti melonjakkan semangat skuad E. Elavasaran, yang menjadi pasukan tunggal dari Liga Perdana yang masih bersaing dalam Piala FA dan akan berdepan Perak dalam separuh akhir kedua di Ipoh pada 30 April ini.
DRB-Hicom, yang gagal menang dalam empat perlawanan sebelum ini, mengganas di Stadium Proton, Tanjung Malim setelah membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 4-0.
Bermain di laman sendiri, The Great Bees menjaringkan kesemua golnya pada babak pertama menerusi percubaan Nazri Kamal (m-2), Ivan Babic (m-10), Fakrul Aiman (m-16) dan Godwin Antwi (m-34).
Di Stadium Likas, Sabah gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila kecundang 0-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) II, yang memperoleh jaringan menerusi Muhd. Hafiy Haikal pada minit ke-31.
No comments:
Post a Comment