Saturday, February 21, 2015

Cara TMJ tidak kena

Sumber: Utusan Online

KUALA LUMPUR – “Alasan yang diberikan beliau (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) ketika melepaskan jawatan tidak kena caranya”.

Itu reaksi Timbalan Pre­siden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Abdul Mokhtar Ahmad yang mengakui amat kecewa dengan ke­nyataan diberikan Pre­siden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) tersebut.

Tunku Ismail kelmarin mengeluarkan kenyataan bahawa dia meletakkan jawatannya sebagai Penasihat FAM kerana tidak mahu menjadi sebahagian daripada organisasi yang tidak adil dan tidak profesional.

Kata Abdul Mokhtar, sewajarnya Tunku Ismail menggunakan saluran yang betul serta memperhalusi alasannya kerana beliau juga sebelum ini adalah sebahagian daripada FAM.



“Saya akui Tunku Ismail seorang yang bagus, malah saya percaya suatu hari nanti beliau mampu memimpin FAM dan kita kalau boleh tidak mahu kehilangannya.

“Namun, apa yang diperkatakan tentang kami (FAM) sebagai tidak telus adalah tidak adil.

“Sekiranya tindakan tersebut ada kena mengena dengan permohonan JDT (Johor Darul Ta’zim) untuk meminda tarikh perlawanan menentang Selangor dan Sarawak maka saya berpendapat Datuk Seri Afandi Ahmad selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan yang sebelum ini telah menjelaskannya secara ter­perinci,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Tunku Ismail meletak jawatan tidak sampai setahun selepas dilantik pada Oktober lalu, dan pengumuman tersebut dibuat dalam satu kenyataan melalui akaun Facebook JOHOR Southern Tiger, kelmarin.

Dalam kenyataan tersebut Tunku Ismail mengharapkan bahawa suatu hari nanti persatuan-persatuan bola sepak diuruskan oleh mereka yang profesional, selain mengimpikan penyokong tempatan le­bih bertamadun dalam menyokong pasukan masing-ma­sing serta tidak berbalah sesama sendiri.

Sebelum ini, Persatuan Bola­sepak Selangor (FAS) menolak permintaan PBNJ untuk meminda tarikh pertemuan kedua-dua pasukan atas alasan cuti perayaan Tahun Baharu Cina dan kesukaran mendapatkan petugas keselamatan pada hari perlawanan tersebut.

Pihak PBNJ mengemukakan permohonan tersebut kerana mahu mendapatkan masa yang mencukupi beraksi di Piala AFC pada Selasa depan bertemu kelab India, East Bengal.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...