Sumber: Utusan Online
KUALA LUMPUR - Tunku Ismail Sultan Ibrahim meletakkan jawatan Penasihat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), tidak sampai setahun selepas dilantik pada Oktober tahun lepas.
Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) itu melepaskan jawatan tersebut dengan alasan tidak mahu menjadi sebahagian daripada organisasi yang tidak adil dan tidak profesional.
Pengumuman itu dilakukan menerusi akaun Facebook JOHOR Southern Tigers malam tadi.
Dipercayai, beliau membuat keputusan itu kerana tidak berpuas hati dengan FAM yang tidak meluluskan permohonan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk meminda tarikh perlawanan dengan Selangor dan Sarawak manakala permintaan Pahang diluluskan.
Tunku Ismail, dalam kenyataannya juga, bagaimanapun mengharapkan bahawa suatu hari nanti persatuan-persatuan bola sepak diuruskan oleh mereka yang profesional selain mengimpikan penyokong tempatan lebih bertamadun dalam menyokong pasukan masing-masing dan tidak berbalah sesama sendiri.
“Saya mempunyai satu impian. Satu impian dan idea yang menjadi pegangan saya, dan ianya satu impian dan idea yang saya sanggup berkorban untuk mencapainya.
“Satu impian di mana suatu hari nanti badan pentadbir bola sepak Malaysia akan dikendalikan oleh golongan yang berdedikasi, profesional dan berpengetahuan tentang bola sepak, dan bukannya ditadbir oleh mereka yang mempunyai kepentingan peribadi serta mengejar modal politik.
“Saya mengimpikan setiap pasukan dilayan secara adil. Hanyalah bola sepak, permainan yang indah, tiada politik. Saya ingin bekerjasama dengan sebuah organisasi yang telus, bersih, jujur dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti bola sepak tempatan.
“Saya tidak mahu menjadi sebahagian daripada sebuah organisasi yang tidak adil. Maka dengan ini, saya mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan saya sebagai Penasihat FAM,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataannya sebelum itu, Tunku Ismail menuntut agar FAM bersikap lebih adil kepada persatuan-persatuan bola sepak negeri dan kelab dalam semua perkara termasuk isu penundaan perlawanan.
Peringatan itu diberikan Tunku Ismail, yang mengakui berasa kecewa apabila mendapat tahu permintaan JDT untuk meminda dua perlawanan, berdepan Selangor dan Sarawak telah ditolak namun permohonan Pahang dibenarkan.
“Apabila FAM tidak bersikap konsisten di dalam memberi keputusan terhadap sesetengah pasukan bola sepak, ia akan menampakkan keputusan berat sebelah di mata para penyokong bola sepak tanah air.
“Dalam isu ini, saya tidak faham mengapa terdapat perbezaan apabila permohonan pasukan yang satu ini ditolak sebaliknya yang lain pula diterima. Apa yang telah berlaku adalah permohonan pasukan JDT untuk meminda tarikh perlawanan dari 21 Februari kepada 20hb Februari menentang Selangor ditolak, begitu juga perlawanan menentang Sarawak pada 7 Mac kepada 6 Mac turut ditolak.
“Manakala permohonan pasukan Pahang menunda tarikh perlawanan mereka dari 1 Mac kepada 2 Mac pula telah diluluskan. Alasan kedua-dua pasukan pada asasnya adalah sama iaitu terlibat dengan AFC.
“Tanggungjawab FAM adalah mengurangkan beban pasukan-pasukan bola sepak tanah air dan memberi bantuan sewajarnya kepada yang mewakili negara di dalam pertandingan AFC, namun apakah yang membezakan setiap persatuan negeri sehingga berlaku perkara sedemikian?
“FAM sepatutnya berlaku adil dan bersikap profesional demi pembangunan bola sepak tanah air,” katanya.
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menolak permintaan PBNJ untuk meminda aksi pertemuan kedua-dua pasukan itu atas alasan cuti perayaan Tahun Baharu Cina dan kesukaran mendapatkan petugas keselamatan pada hari perlawanan itu.
PBNJ mengemukakan permohonan tersebut kerana mahu mendapat masa yang mencukupi beraksi di Piala AFC pada Selasa depan bertemu kelab India, East Bengal.
No comments:
Post a Comment