PENYERANG JDT, Luciano Figueroa cuba melepaskan diri daripada asakan dua pemain PDRM, Kughebe Onoriode dan Mohamad Muslim (bawah) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam semalam. PDRM menang 1-0. – MINGGUAN/Saharuddin Abdullah |
Sumber: Utusan Online
SHAH ALAM - Reputasi hebat juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) tercalar di Stadium Shah Alam apabila mereka tumpas 1-0 di tangan PDRM melalui jaringan pemain dari Gambia, Mohamadou Sumareh pada minit ke-76.
Kemenangan PDRM itu, yang merupakan juara Liga Perdana musim lalu, jelas memberikan amaran tersendiri kepada pencabar-pencabar lain bahawa kehadiran skuad kendalian Azman Adnan itu tidak boleh dipandang sepi pada musim ini.
Selain Sumareh, aksi lincah yang dipamerkan oleh beberapa lagi pemain import PDRM, Dramane Traore, Kughebe Onoriode dan Ali Ashfaq membuatkan JDT kelihatan kelam-kabut untuk mengawal pergerakan mereka.
The Cops, yang tumpas 5-3 kepada Lions XII minggu lalu, memulakan permainan dengan langkah menyakinkan sebaik sahaja aksi bermula apabila hantaran silang V. Thirumurugan pada minit ketiga hampir membuahkan hasil tetapi Traore gagal menanduk kemas ke arah gawang JDT.
Bagaimanapun, Harimau Selatan membalas serangan dua minit kemudian menerusi Luciano Figueroa yang melepaskan rembatan sipi dalam situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol The Cops.
Tuan rumah sekali lagi hampir berada di hadapan pada minit keenam melalui gerakan Ashfaq yang membuat hantaran silang ke dalam kotak penalti namun bola sekadar melintasi celah kaki Traore.
Reputasi hebat dimiliki JDT langsung tidak menggentarkan PDRM apabila terus menguasai permainan cuma dihampakan ketumpulan jentera serangan, kali ini melalui Mohd. Fauzi Abd. Majid yang merembat tinggi melepasi palang pada minit ke-35, juga selepas menerima umpanan Ashfaq.
Pada minit ke-57, penyokong PDRM gembira seketika kerana menyangkakan sepakan jarak jauh pertahanan dari Nigeria, Onoriode menerjah gawang JDT, namun pengadil Suhaizi Shukri membatalkan gol berkenaan kerana mendakwa bola mengenai salah seorang pemain PDRM yang berada dalam kedudukan ofsaid.
Namun, ketika penyokong JDT mula menyanyi dan bersorak, PDRM akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-76 menerusi gerakan solo Sumareh.
Selepas memperdayakan tiga pemain, bola percubaannya dari luar kotak penalti mengenai tiang sebelum bergolek masuk menewaskan penjaga gol kebangsaan Farizal Marlias.
JDT yang amat memerlukan jaringan penyamaan memasukkan Safee Sali pada minit ke-81 untuk menggantikan S. Chanturu tetapi perubahan itu tidak memberi sebarang kesan apabila benteng PDRM kental mempertahankan kelebihan tipis mereka.
Sementara itu Perak mengekalkan aksi konsisten apabila meraih kemenangan kedua dalam kempen Liga Super selepas menewaskan ATM 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban.
Kemenangan Bos Gaurus itu membolehkan pasukan tersebut berada di puncak liga dengan enam mata dan menjarakkan kedudukan menerusi kelebihan dua mata daripada pasukan tangga kedua Felda United.
Pada perlawanan tersebut Perak yang berkunjung di laman lawan tidak menghadapi masalah untuk beraksi dengan baik dan mendapatkan gol pertama pada minit ke-20 menerusi Nasir Basharuddin sebelum menambah gol kedua hasil jaringan Nurridzuan Abu Hassan pada minit ke-53.
Di Stadium MP Selayang menyaksikan Felda United beraksi cemerlang untuk meraih tiga mata dengan membelasah Sime Darby 3-0.
Tiga gol Felda United hadir menerusi Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-12, Ndumba Makeche minit ke-15 dan hasil jaringan kapten pasukan Muhammad Shukor Adan minit ke-77.
Kini Felda Unied telah mengumpul empat mata selepas dua perlawanan liga yang turut menyaksikan pasukan tersebut meraih keputusan seri 3-3 pada aksi pertama musim ini menentang Sarawak minggu lepas.
Perlawanan di Stadium Negeri, Kuching menyaksikan Sarawak berjaya mendapatkan kemenangan pertama dalam kempen musim ini selepas menewaskan Terengganu 3-1.
Pada perlawanan tersebut Sarawak tidak menunggu lama untuk mendapatkan jaringan seawal minit keempat menerusi Billy Mehmet dan menambah jaringan kedua melalui Ashri Chuchu minit keenam.
Terengganu cuba untuk merapatkan kedudukan jaringan apabila berjaya mendapatkan gol pada minit ke-14 menerusi Paulo Rangel namun tuan rumah terus menambah derita pasukan pelawat dengan meledak gol ketiga yang dijaringkan oleh Joseph Kalang Tie minit ke-39.
Sarawak kini berada di tangga ketiga liga berkongsi empat mata dengan pasukan tangga kedua Felda United.
No comments:
Post a Comment