SUmber: Metro Online
Kota Bharu: Jurulatih Kelantan Bojan Hodak tidak gusar meskipun gagal
mencari bekalan selesa untuk perlawanan timbal balik saingan suku akhir
kedua Piala FA berdepan Sarawak 16 April ini.
Pada perlawanan kelmarin, Kelantan selaku penyandang juara bertahan
sekadar mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas pasukan kendalian Robert
Alberts di Stadium Sultan Muhammad IV.
Keputusan itu menyaksikan tugas berat menanti The Red Warriors (TRW) pada perlawanan kedua apabila hanya mempunyai kelebihan satu gol, sebaliknya Sarawak mendapat bekalan satu jaringan di tempat lawan.
Hodak berkata, situasi itu tidak membimbangkannya malah sentiasa
yakin dan percaya anak didiknya mampu beraksi lebih cemerlang dalam
perlawanan kedua.
Katanya, kemenangan tipis yang diperoleh berpunca daripada beberapa tonggak yang kurang cergas kerana demam mengakibatkan gergasi Pantai Timur itu tidak boleh mempamerkan belang sebenar.
“Kita perlu sentiasa yakin kerana sudah menang dalam perlawanan pertama. Tiada masalah bagi kita untuk mencari kemenangan dalam perlawanan kedua kerana Sarawak juga tertekan untuk menang,” katanya.
Menurut Hodak, pasukannya kini menumpukan perhatian kepada saingan
Piala AFC yang memasuki pusingan kedua berdepan semula SHB Da Nang di
Vietnam 10 April ini.
No comments:
Post a Comment