Monday, April 14, 2014

'Beri kami masa dua tahun

Sumber: Kosmo

SKUAD MISC-MIFA kekal optimis untuk layak ke saingan Liga Premier bagi musim 2016. Setiausaha Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA), Louis Santhana Dass (gambar) berkata, ini kerana pasukan itu baru dibentuk sejak tiga bulan lalu dan masih tercari-cari rentak bagi mengharungi saingan Liga FAM musim ini.
Menurut beliau, skuad itu cukup berpotensi untuk layak ke saingan Liga Premier dua musim lagi berdasarkan persembahan positif pemain-pemain muda mereka setakat ini.


“Beri kami masa selama dua tahun, saya percaya pasukan ini mampu layak ke saingan Liga Premier bagi musim 2016.
“Jika dilihat pada persembahan pemain dalam setiap perlawanan, mereka berpotensi untuk dibentuk menjadi pasukan yang mantap selain membentuk persefahaman yang lebih sempurna,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Skuad MISC-MIFA kini di tangga ke-10 Liga FAM dengan enam mata hasil dua kemenangan dan lima tewas setakat ini.
Mereka berjaya menundukkan Harimau Muda C dengan kemenangan tipis 2-1 selain mengatasi Hanelang FC dengan kemenangan 1-0 baru-baru ini.
Justeru, Louis percaya barisan pemain MISC-MIFA masih memerlukan masa untuk digilap sepenuhnya sebelum menjadi antara pencabar utama dalam tempoh beberapa musim lagi.
“Sasaran untuk layak ke saingan Liga Premier dalam tempoh dua musim lagi dilihat lebih realistik berbanding musim depan.
“Jadi, saya harap kesemua pemain MISC-MIFA mampu menimba pengalaman berguna sepanjang saingan Liga FAM kelak,” katanya.
Sementara itu, tonggak MISC-MIFA, P. Puvanesvaran juga berjanji untuk memberikan yang terbaik bagi membantu pasukan itu kekal dalam saingan Liga FAM musim depan.
“Saya juga gembira apabila kesemua pemain diberikan peluang bergilir-gilir menjadi kapten pasukan sekali gus memupuk semangat kepimpinan dalam kalangan pemain,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...