Thursday, October 30, 2014

Jalan kaki 1km ke stadium

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Selepas menasihatkan penyokong datang seawal jam 2 petang, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meminta penyokong Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan Pahang berjalan sejauh satu kilometer menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 untuk mengelak kesesakan lalu lintas.

Menurut Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah, kedua-dua penyokong harus mematuhi aliran trafik dan waktu perjalanan terutama mereka yang datang dengan bas menjelang perlawanan akhir Sabtu ini.




“Kami sudah melakukan perubahan berdasarkan kajian dibuat iaitu penyokong Pahang akan meletakkan bas mereka di kelab lumba kuda berhampiran Hotel Palace of Golden Horses, manakala penyokong Johor DT di Technology Park Malaysia (TPM),” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2014 semalam.

Jelasnya, semua pihak sudah sedia maklum ada dua acara lain di luar Stadium Nasional, Bukit Jalil pada hari berkenaan, yang boleh memberikan kesan kepada aliran trafik.

“Kalau boleh mereka perlu datang seawal mungkin bukan semua perlu sampai tepat 2 petang. Jika keadaan lalu lintas mengizinkan mungkin bas dibenarkan menurunkan penyokong di perkarangan stadium.

“Jika keadaan tidak mengizinkan, bas akan terus diletakkan di tempat dinyatakan tadi dengan penyokong kedua-dua pasukan perlu berjalan ke stadium,” katanya.

Dari aspek keselamatan pula Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menyediakan jumlah anggota mencukupi dengan lebih 2,000 anggota dan tiga lapis kawalan untuk masuk ke stadium.

“Penonton akan diperiksa dengan rapi sebelum masuk stadium dan kami menasihatkan penonton supaya tidak membawa masuk barang larangan seperti suar selain sepanduk berbaur negatif juga akan diturunkan dengan segera jika ada malam itu,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui berlaku kesesakan ketika jualan secara dalam talian pada pagi semalam.
“Kita sudah menghubungi syarikat yang mengendalikan penjualan tiket ini dan meminta mereka menambah kelajuan perkhidmatan supaya tidak berlaku kesesakan,” katanya.
Menurutnya, penjualan secara talian itu sungguh menggalakkan dan akan diteruskan pada masa akan datang kerana sekarang adalah proses mendidik penyokong membiasakan diri dengan pembelian seperti itu.

“Kita juga jangkakan tiket perlawanan akhir akan mula dijual di Pahang dan Johor esok (hari ini), tapi saya ingin nasihatkan kedua-dua persatuan tidak mengulangi kesilapan sebelum ini.

“Pastikan semua kawalan keselamatan dan ambulans berada dalam keadaan bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...