Sumber: Harian Metro
Kuantan: "Saya tidak takut, inilah perlawanan yang saya nanti-nantikan," kata penyerang import Pahang, Dickson Nwakaeme mengenai pertembungan dengan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Menurut pemain kelahiran Lagos, Nigeria itu, perlawanan dengan juara Liga Super itu dianggap pertemuan buku dengan ruas dan tiada perasaan gentar untuk dirinya berdepan barisan pemain bintang skuad Harimau Selatan.
"Ini perlawanan akhir yang menarik kerana membabitkan dua pasukan terbaik Malaysia. Mereka memenangi Liga Super musim ini dan kami pula memenangi Piala FA, penyokong kedua-dua pasukan juga hebat, sudah pasti ia perlawanan yang menarik.
"Kalau takut, anda tidak boleh bermain bola sepak. Tidak kira betapa hebatnya seseorang itu, jika takut anda tidak boleh bermain dengan baik.
"Tahap keyakinan saya 500 peratus, inilah perlawanan yang saya suka. Saya suka bermain dalam perlawanan besar dan menentang pemain hebat kerana dapat menguji kemampuan saya," katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan di Stadium Darul Makmur, semalam.
Nwakaeme, 28, yang digelar 'orang besi' kerana kekuatan fizikalnya sering mengundang masalah kepada barisan pertahanan lawan.
Ini terbukti apabila bekas pemain Kelantan itu kerap melakukan gerakan solo untuk membuka peluang kepada rakan sepasukan menjaringkan gol ketika membelasah Kedah, 5-0 pada separuh akhir kedua untuk mara ke final dengan agregat 6-3.
"Saya puas hati dengan sumbangan kepada pasukan pada separuh akhir kedua. Walaupun tidak menjaringkan gol, yang penting Pahang menang dan mara ke final," katanya yang menyumbat gol kemenangan ketika membantu skuad Tok Gajah menewaskan FELDA United 2-1 pada final Piala FA, Jun lalu.
No comments:
Post a Comment