Monday, October 27, 2014

Sanjung aksi anak buah

Sumber: Harian Metro

Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Bojan Hodak melengkap ‘hatrik’ dalam karier selaku jurulatih apabila berjaya membimbing dua pasukan berbeza layak ke final Piala Malaysia bagi tiga musim berturut-turut.

Selepas dua kali membimbing Kelantan pada musim 2012 dan 2013 tatkala muncul juara selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia 3-2 dan tewas 0-1 kepada Pahang musim lalu, kini pengendali dari Croatia itu melakar sejarah tersendiri apabila mengemudi Johor DT ke final piala berprestij itu.



Namun di sebalik kejayaan itu, Hodak tampak tidak mahu mendabik dada sebaliknya menegaskan kejayaan layak ke final musim ini hasil kerja keras pemain Johor DT yang tidak pernah kenal erti kegagalan.

Skuad Harimau Selatan layak ke final dan akan berdepan Pahang di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini selepas menang dengan agregat 6-5 apabila menewaskan FELDA United 3-1 pada separuh akhir kedua di Stadium Larkin, kelmarin.

“Pujian kepada pemain Johor DT apabila mereka memainkan peranan meraih kejayaan ini dan saya hanya merangka strategi kerana tanpa kesungguhan pemain mungkin kami tidak akan menjejak kaki ke Stadium Nasional musim ini.

“Namun kemenangan ini terpaksa dibayar dengan harga tinggi selepas saya kehilangan dua tonggak utama, Aidil Zafuan Radzak dan Nazrin Nawi kerana penggantungan satu perlawanan.

“Apapun pujian kepada Hariss Harun dan Fadhli Shas yang beraksi cemerlang di posisi pertahanan apabila berjaya menghalang Edward Junior Wilson dan Makache Ndumba yang begitu berbahaya apabila kedua-dua pemain itu meraih peluang dalam kotak penalti Johor DT,” katanya.

Hodak akan berusaha membuat rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kad merah dan kad kuning yang dilayangkan pengadil Suhaizi Shukri kepada Nazrin dan Aidil.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...