Thursday, October 30, 2014

Rayuan Harimau Selatan ditolak


Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Hasrat Johor Darul Ta’zim (Johor DT) untuk menggunakan khidmat Aidil Zafuan Abd Radzak pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 menentang Pahang Sabtu ini tidak kesampaian.

Ini kerana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menolak rayuan yang dikemukakan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) untuk menurunkan pemain pertahanan itu selepas digantung kerana menerima kad kuning kedua Sabtu lalu.


“Pihak FAM diketuai Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) dan Jawatankuasa Pengadil sudah melihat video diserahkan Johor DT selain rakaman pihak kami sendiri semalam (kelmarin),” kata Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Hamidin Mohd Amin selepas Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2014 semalam.

Jelasnya, selepas melihat rakaman video berkenaan, pihaknya berpendapat kad kuning kedua diterima Aidil Zafuan pada saingan separuh akhir kedua menentang FELDA United munasabah.

“Dia (Aidil) tidak akan beraksi dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini dan keputusan itu muktamad.

“Kami sudah memaklumkan kepada PBNJ mengenai perkara ini,” kata FAM yang sebelum ini tidak membincangkan perkara berkenaan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2014, Isnin lalu.

Ini insiden kedua Aidil tidak dapat beraksi pada perlawanan akhir dengan kali pertama berlaku pada final Piala FA 2013 menentang Kelantan.

Aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu menyaksikan Kelantan muncul juara hasil gol kemenangan Nor Farhan Muhammad pada minit ke-15.

Ketiadaan Aidil mungkin menjejaskan peluang Johor DT muncul juara dan mereka besar kemungkinan akan menurunkan Jasazrin Jamaluddin.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...