Tuesday, April 21, 2015

‘Beri kami undian baharu’

Sumber: Utusan Online

Seandainya Indonesia tidak menyertai Sukan SEA 2015

KUALA LUMPUR - Pengendali skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee menegaskan, undian semula perlu dilakukan jika Indonesia tidak menyertai acara bola sepak pada Sukan SEA di Singapura, hujung Mei ini.

Katanya, undian semula perlu dibuat untuk memastikan tidak berlaku situasi berat sebelah antara 10 pasukan bertanding.

Katanya, tidak dapat di­terima akal jika penganjur mengekalkan undian sedia ada sekiranya Indonesia tidak mengambil bahagian.

Negara tersebut kini dalam situasi bahaya ekoran campur tangan kerajaan menerusi Kementerian Pemuda dan Olahraga Indonesia (Kemenpora) ke atas Persa­tuan Seluruh Sepak Bola Indonesia (PSSI).



“Jika benar Indonesia tidak mengambil bahagian dalam acara bola sepak di Sukan SEA, saya rasa sewajarnya tuan rumah melakukan undian semula melibatkan semua pasukan kerana bilangan pasukan antara dua kumpulan tidak seimbang.

“Tidak patut kalau Kumpulan A hanya tinggal empat pasukan, termasuk tuan rumah sedangkan Kumpulan B, ada enam pasukan. Di manakah keadilan jika kami terpaksa bermain lebih dua perlawanan?

“Apa sahaja mekanisma yang akan diambil Sekretariat Sukan SEA dengan membuat cabutan semula atau memilih secara rawak salah satu pasukan dari Kumpulan B ke Kumpulan A, saya tidak kisah.

“Yang penting jumlah pasukan perlu seimbang iaitu lima pasukan dalam tiap kumpulan, ” katanya.

Kemenpora sebelum ini pernah memberi tiga surat teguran kepada PSSI agar dua kelab, Arema Cronus dan Persebaya Surabaya, mencapai kata sepakat dengan Badan Olahraga Profesional Indonesia (BOPI).

Selepas PSSI tidak melayani permintaan itu, Kemenpora telah menghantar surat rasmi dengan tidak mengiktiraf organisasi badan induk bola sepak negara berkenaan.

Teguran itu meletakkan PSSI dalam bahaya ke­rana adanya campur tangan kerajaan, dan perkara tersebut boleh mengundang kepada penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Keharmonian dan Perkongsian Kemenpora, Gatot S. Dewa Broto dalam salah laman web bola sepak Indonesia, Tempo.Co pada Sabtu lalu.

Pada undian Sukan SEA yang dilakukan 15 April lalu, Malaysia diletak dalam Kumpulan B bersama Thailand, Vietnam, Brunei, Timor Leste dan Laos.

Kumpulan A pula dianggotai Indonesia, Filipina, Myanmar, Kemboja dan tuan rumah Singapura.

Bagi Kim Swee, jika pe­nganjur enggan membuat undian semula andai Indonesia tidak mengambil bahagian, pingat sudah boleh dikalung kepada pasukan yang beraksi dalam Kumpulan A kerana mereka mempunyai kelebihan besar.

“Kumpulan A bermain tiga perlawanan, manakala kami terpaksa menghabiskan lima perlawanan.

“Jika mampu layak, sudah tentu sukar bagi kami berdepan pasukan yang berada di tahap kecergasan terbaik sedangkan kami terpaksa bermain lima perlawanan dalam 14 hari.

“Saya harap tidak ada unsur-unsur sebegini akan berlaku pada Sukan SEA nanti kerana ia bukan sesuatu yang sihat, namun saya yakin pihak Singapura akan mengamalkan semangat fairplay sepanjang kejohanan ini, ” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...