Tuesday, April 21, 2015

Potong gaji 10 peratus!

Sumber: Harian Metro

Kota Bharu: Beberapa pemain tempatan Kelantan bertaraf bintang kini ‘panas punggung’ apabila prestasi mereka mulai diperhalusi Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) selepas gagal menyinar sepanjang aksi Liga Super.

Malah, gaji bulanan mereka itu juga bakal dipotong 10 peratus jika terus menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan termasuk boleh ditamatkan kontrak sekiranya sudah diberi dua amaran.

Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya menilai dua hingga tiga pemain yang kini beraksi di bawah prestasi sebenar.



Katanya, mereka sudah diberikan pelbagai imbuhan termasuk gaji mencecah RM40,000 hingga RM50,000 sebulan tetapi masih gagal memberi impak.

“Kita bayar gaji berdasarkan prestasi semasa dan bukannya mengikut kontrak perjanjian kerana perkara itu kita sudah nyatakan kepada pemain sebelum ini.

“Dalam perjanjian, kami akan keluarkan tiga kali surat amaran dan andai tiada peningkatan, KAFA berhak potong 10 peratus gaji mereka, disusuli 10 peratus lagi dan terakhir 10 peratus,” katanya selepas merasmikan Liga Bola Sepak Piala Tan Sri Annuar Musa di Padang Halban, Melor, kelmarin.

Annuar berkata, sesiapapun tidak boleh menghalangnya daripada membuang pemain tempatan kerana sebelum ini, tindakan sama dilakukan terhadap jurulatih dan pemain import.

Katanya, perkara itu perlu dilakukan kerana KAFA sudah banyak melabur untuk pasukan, namun hasil diberikan agak mengecewakan.

“Liga Malaysia banyak berubah selepas FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) memperkenalkan sistem empat pemain import yang boleh beraksi serentak, bermula musim ini.

“Perubahan itu memberi kesan terhadap persatuan yang kurang mempunyai dana hingga menyebabkan prestasi mereka merosot. Ketiadaan pemain import berkualiti membuatkan persatuan seperti Kelantan, Negeri Sembilan dan Kedah terjejas kerana berdepan masalah kewangan.

“Kita juga tidak mampu melabur kira-kira AS$200,000 setahun untuk seorang pemain import. Paling mahal pemain import pernah kami beli ialah Obinna Nwaneri AS$280,000 dan Dickson Nwakaeme (AS$250,000),” katanya.

Menurutnya, sebelum pintu perpindahan pemain ditutup 28 April ini, KAFA merancang mencari beberapa pemain tempatan lain bagi memperkasakan lagi pasukan The Red Warriors (TRW).

“Jika ada rezeki, saya akan membawa masuk beberapa pemain tempatan dari pasukan lain bagi memperkuatkan posisi yang longgar.

“Saya optimis, kami mampu bangkit untuk mengulangi sejarah empat tahun lalu atau sekurang-kurangnya, membawa pulang satu piala musim ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...