Wednesday, April 29, 2015

Bakti anak jati

Sumber: Harian Metro

Kota Bharu: Bekas pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Amirizwan Taj Tajuddin menamatkan teka-teki mengenai hala tujunya dalam Liga Super selepas memilih untuk menyarung jersi Kelantan bagi baki saingan musim ini.

Begitupun, rakan sepasukannya, Abdul Shukur Jusoh, 26, yang sebelum ini dikhabarkan turut bersetuju beraksi bersama The Red Warriors (TRW), membuat pusingan-U dengan terus bersama ATM.

Amirizwan, 29, menandatangani kontrak bersama Kelantan hari ini dan pemain tinggi lampai yang juga anak jati Kelantan itu akan mula menjalani latihan di bawah ketua jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah minggu depan.



Dengan kehadiran bekas pemain Harimau Malaya itu, pertahanan Kelantan dijangka bertambah kental dan dia akan digandingkan bersama Jonathan McKain, Nik Shahrulazim, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Norhafiz Zamani Misbah serta Mohd Fitri Omar.

Difahamkan, khidmat pemain itu diperlukan skuad Kelantan bagi memperkuatkan lagi pertahanan selepas posisi itu dilihat agak goyah dalam beberapa perlawanan terdahulu.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan disiarkan menerusi laman sosialnya memaklumkan, kemasukan Amirizwan antara usaha diambil untuk memperkasakan posisi pertahanan dan tengah TRW.

Katanya, KAFA tidak menghadapi masalah mendapatkan Amirizwan Taj kerana sudah mendapat persetujuan serta pelepasan ATM.

“Amirizwan seorang pemain pertahanan yang rajin serta kental dan saya yakin reputasinya akan meningkat semula sepanjang menjalani latihan bersama Azraai.

“Saya menaruh harapan terhadap pemain itu serta semua pemain sedia ada untuk membantu Kelantan kembali ke landasan sebenar,” katanya.

Sementara itu, Amirizwan gembira sebaik menerima tawaran menyertai Kelantan daripada Presiden KAFA sendiri.

Katanya, walaupun agak berat meninggalkan ATM selepas hampir tiga tahun bersama pasukan itu, dia terpaksa akur dengan perpindahan kali ini demi masa depan kariernya.

“Saya tidak dipaksa mana-mana pihak termasuk keluarga dan persetujuan itu dengan kerelaan hati saya sendiri, selain ingin berbakti dengan negeri kelahiran.
“Dengan semangat baru, Insya-Allah saya akan gunakan segala pengalaman untuk memberikan yang terbaik kepada pasukan Kelantan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...