Sumber: Utusan Online
KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus kebal di tempat sendiri apabila menambah derita Kelantan dengan membenam The Red Warriors 3-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, semalam.
Biarpun dikejutkan dengan gol pembukaan pasukan pelawat menerusi Iwuji Augustine Amamchi pada minit kesembilan, namun itu tidak merencatkan semangat anak-anak buah Bojan Hodak.
Tandukan Hariss Harun pada minit ke-18 berjaya menyamakan kedudukan 1-1, sebelum bintang import baharu, Alhaji Kamara menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-22.
Tidak terhenti di situ, Harimau Selatan menambah gol ketiga menerusi Mohd. Amri Yahyah, tiga minit sebelum tamat babak pertama, sekali gus melonjakkan JDT ke tangga ketiga liga.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri apabila diaibkan Felda United 1-3.
The Fighters terlebih dulu di depan menerusi pemain sayap, Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-20, namun tuan rumah menyamakan kedudukan melalui Paulo Rangel pada minit ke-62.
Gol Rangel bagaimanapun gagal menaikkan semangat Terengganu, sebaliknya Felda berjaya meledak dua gol dalam tempoh empat minit menerusi Ndumba Makeche dan Zah Rahan Krangar pada minit ke-79 dan 83 sekali gus meranapkan impian tuan rumah.
Sementara itu dalam aksi di Stadium Majlis Pembandaran Selayang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menang besar 4-1 ke atas pasukan tercorot, Sime Darby.
Dua jaringan PDRM disumbangkan Ali Ashfaq pada minit ke-36 dan ke-47, manakala dua gol lagi menerusi Mohamadou Sumareh (minit ke-52) dan Mohd. Fauzi Abdul Majid pada waktu kecederaan.
Jaringan saguhati Sime Darby diperoleh menerusi pemain import, Reinaldo da costa pada minit ke-74.
Dalam perlawanan itu juga, kedua-dua pasukan menutup saingan dengan 10 pemain.
Di Stadium Negeri, Sarawak sekadar meraih satu mata apabila seri 1-1 dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Gol tuan rumah disumbangkan penyerang import, Ryan Griffiths, manakala pasukan pelawat memperoleh gol penyamaan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Jerry Palacios pada minit ke-68.
No comments:
Post a Comment