Tuesday, April 22, 2014

Selangor sah sambar Nazmi

Foto
Sumber: Harian Metro
Kuala Lumpur: Perancang tengah berbakat negara Mohd Nazmi Faiz Mansor sah bergelar pemain Selangor semalam apabila menandatangani kontrak bersama Merah Kuning dengan difahamkan perpindahan berkenaan membabitkan pembayaran RM300,000 kerana masih mempunyai baki kontrak setahun setengah bersama PKNS FC.



Bekas pemain kelab Portugal, SC Beira Mar berusia 20 tahun itu didaftarkan untuk bersama Merah Kuning bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia dengan aksi menentang Terengganu pada 4 Mei nanti dijangka menjadi penampilan pertamanya.
“Nazmi menandatangani kontrak sehingga 2016 bersama Selangor dengan memakai jersi nombor 8,” menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Rosman Mohd Ibrahim ketika mengesahkan penyertaan perancang tengah bagi menguatkan cabaran skuad kendalian Mehmet Durakovic.
Kehadiran Nazmi dilihat tepat pada masanya kerana Selangor yang berada di kedudukan kedua kini sedang mengekori rapat Pahang dalam saingan Liga Super dan bakal menguatkan jentera tengah yang sudah kehilangan K Gurusamy susulan kecederaan ACL selain khidmat Junior Aparecido ditamatkan kontrak.
FAS turut membenarkan PKNS FC untuk memilih dua pemain Piala Presiden mereka sebagai sebahagian daripada perjanjian perpindahan berkenaan dan bukannya dua pemain utama Selangor.
Nazmi menjadi pemain kedua didaftarkan FAS menerusi jendela perpindahan kedua Liga Malaysia selepas mendapatkan pemain pertahanan Evaldo Silva Dos Santos untuk menggantikan Junior manakala perancangan untuk menggantikan Steve Pantilidis dengan Cleber Barbosa Viana tidak diteruskan apabila barisan pemain Selangor tidak bersetuju.
Sementara itu, FAS melepaskan Raimi Mohd Noor kepada FELDA United yang beraksi dalam saingan Liga Perdana.
Selangor akan meneruskan saingan dalam Piala AFC menentang kelab Maldives, Maziya Sports & Recreation di Stadium Shah Alam, malam esok dengan Nazmi dijadualkan turut menjalani latihan buat kali pertama bersama Merah Kuning di Stadium Shah Alam petang ini.

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...