Monday, June 2, 2014

Belum masanya!

Sumber: Harian Metro
Shah Alam: Kelibat penyerang import baru Kelantan, Prince Tagoe terus menimbulkan rasa kurang senang penyokong The Red Warriors (TRW) apabila sekadar memanaskan bangku simpanan ketika juara bertahan itu gagal melangkah ke final Piala FA, kelmarin.
Pemain kelahiran Ghana itu belum pernah diturunkan Kelantan sejak dibeli pada jendela perpindahan April lalu bagi menggantikan penyerang Lubnan, Muhammad Ghaddar yang digugurkan.

Malah ketika Kelantan dilihat perlu memperkuatkan jentera serangan, pengendalinya George Boateng membuat keputusan memasukkan Ahmad Shakir Ali sebagai pertukaran terakhir berbanding Tagoe sekali gus membangkitkan kemarahan penonton yang menanti sejak awal perlawanan untuk menyaksikan sentuhan pemain itu.

Namun pengendali Kelantan Boateng tampil mempertahankan keputusannya dengan menjelaskan sebagai pengurus beliau perlu membuat keputusan adil kepada semua pemain.
“Saya memilih pemain berdasarkan tahap kecergasan dan persembahan dipamerkan pada sesi latihan. Tagoe tidak menjalani latihan sepenuhnya kerana masalah kecergasan dan kecederaan kecil. Shakir pula menjalani latihan setiap hari sejak tiga minggu lalu. Dia lebih cergas berbanding Tagoe.

“Tagoe perlu membuktikan dirinya cergas terlebih dulu sebelum diturunkan. Kami memerlukan gol dan Shakir adalah pemain yang lebih cergas,” katanya selepas perlawanan malam kelmarin.

Kelantan terdesak memerlukan jaringan selepas FELDA United bangkit menyamakan kedudukan 2-2 menerusi penyerang import, Edward Junior Wilson pada hujung separuh masa pertama selepas Kelantan mendahului hasil jaringan Khairul Izuan Rosli dan Francis Forkey Doe.
“Kegagalan ini sukar diterima kerana kami bermain lebih baik. Lawan bernasib baik tidak ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama.

“Keputusan ini tidak mencerminkan persembahan kami sepanjang perlawanan. Kami akan cuba menamatkan saingan Liga Super di kedudukan empat terbaik dan cuba memenangi Piala Malaysia,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...