Wednesday, June 4, 2014

Wan Jamak direhatkan

Sumber: Harian Metro
Kuala Lumpur: Ketua jurulatih PKNS FC Wan Jamak Wan Hassan direhatkan oleh pihak pengurusan kelab berkenaan ketika saingan Liga Super berbaki lima perlawanan lagi.
Kelab berkenaan berada dalam situasi tertekan apabila menghuni tangga terbawah Liga Super dan berdepan kemungkinan tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Mereka hanya mengumpul 14 mata dengan mencatat tiga kemenangan selepas mengharungi 17 perlawanan walaupun mempunyai barisan pemain berkaliber seperti penjaring terbanyak Liga Perdana sebelum ini, Patrick Ronaldinho Wleh dan Karlo Primorac serta barisan pemain tempatan berpengalaman, Helmi Remeli, P Gunalan dan Shahurain Abu Samah.

“Perkara ini sudah dimaklumkan pihak pengurusan kepada pemain hari ini (semalam). Beliau direhatkan untuk baki perlawanan Liga Super,” menurut sumber.
Bekas jurulatih kebangsaan itu dilantik menggantikan Abdul Rahman Ibrahim pada Oktober tahun lalu dengan kontrak dua tahun dan setahun pilihan.

Ketiadaan Wan Jamak pastinya menambah tekanan terhadap barisan kejurulatihan PKNS FC terutama penolong jurulatih, Anuar Abu Bakar bagi memastikan PKNS FC kekal dalam saingan elit kancah bola sepak tempatan itu.

Mereka tidak mempunyai pilihan selain mencatatkan kemenangan dalam lima baki perlawanan, bermula menentang Perak pada Selasa depan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...