Monday, June 23, 2014

LionsXII kebal?

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Adakah pasukan jemputan, LionsXII akan beraksi di Liga Perdana andai menamatkan saingan di kedudukan ke-11 ataupun kekal ‘kebal’ di Liga Super musim depan?

Kelab dari Singapura itu akan berada di kedudukan ke-11 Liga Super jika tewas kepada T-Team di Kuala Terengganu, Rabu ini selain dua lagi pasukan yang sedang bergelut di zon penyingkiran, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Perak melakar kemenangan pada perlawanan terakhir.



Pungutan mata diraih T-Team, ATM dan Perak akan mengatasi 25 mata yang dikumpul skuad kendalian Fandi Ahmad sekiranya menang pada perlawanan terakhir itu.

ATM akan menentang Sime Darby manakala Perak menanti kunjungan pasukan di kedudukan ketiga liga, Pahang di Stadium Perak.

Namun andai LionsXII menamatkan saingan di kedudukan ke-11 Liga Super dan dikekalkan ketika pasukan tempatan bermain rmati-matian untuk tidak mengiringi PKNS FC ke saingan bahagian dua Liga Malaysia itu, ia pasti menimbulkan kemarahan segelintir pasukan.

LionsXII dijadual beraksi selama empat tahun dalam kancah Liga Malaysia sejak 2012.

“Jika tidak silap saya, ketika perjanjian persefahaman antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) ditandatangani, perkara ini tidak terkandung dalamnya.

Namun ia dinyatakan menerusi perbincangan secara lisan dengan mereka memohon untuk tidak disingkirkan ke liga bawahan.

“Bagaimanapun FAM tidak memandang ringan perkara ini dan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) akan datang,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Pasukan menduduki tempat ke-11 dan 12 Liga Super tidak akan layak secara automatik ke Piala Malaysia musim ini kerana perlu mengharungi aksi kelayakan play-off menentang pasukan yang menduduki tempat kelima dan keenam Liga Perdana.

PDRM dan FELDA United yang muncul juara dan naib juara Liga Perdana mengesahkan dua tiket ke Liga Super musim depan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...