PEMAIN Selangor, Paulo Rangel (depan) bersama rakan sepasukan meraikan jaringan pertama ketika menentang Sarawak dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi. Selangor menang 3-0. - BERNAMA |
Sumber: Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR - Selangor belum mahu menyerah kalah dalam persaingan liga apabila terus menekan pendahulu Liga Super 2014, Johor Darul Tazim selepas membelasah Sarawak 3-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.
Skuad Red Giants bimbingan Mehmet Durakovic kini merapatkan jurang kedudukan kepada satu mata hasil dua jaringan penyerang dari Brazil yang kembali beraksi daripada penggantungan, Paolo Rangel pada minit ke-42 dan 61 serta Ahmad Hazwan Bakri, 65.
Di Stadium Darul Makmur, Kuantan pula, Pahang mengukuhkan cengkaman di tangga ketiga setelah membenam PKNS 2-1 sekali gus mengumpul 37 mata.
Tiga mata buat Tok Gajah diperoleh menerusi rembatan dari luar kotak penalti oleh Azidan Sarudin dan tandukan Saiful Nizam Miswan pada minit ke-46 dan 52.
Tuan rumah berjaya merapatkan jurang gol hasil rembatan deras pemain import pelawat, Karlo Primorac, dua minit sebelum tamat perlawanan.
Sime Darby pula mensia-siakan peluang melonjak ke tangga kelima setelah sekadar mengikat T-Team 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Pemain veterannya, Fadzli Saari menyelamatkan tuan rumah dengan gol minit ke-22 setelah dikejutkan jaringan pemain import pelawat, Patrich Wanggai pada minit kelapan.
Di Stadium Jalan Besar, Singapura, Perak terus gigih untuk keluar dari zon penyingkiran dengan mengejutkan Lions XII 2-0 menerusi jaringan Abdulafees Abdulsalam dan Milan Purovic pada minit ke-17 dan 65.
No comments:
Post a Comment