Sumber: Harian Metro
Kuala Lumpur: LionsXII tetap bertegas pasukan jemputan di Liga Super itu tidak akan tersingkir ke Liga Perdana musim depan sekiranya menamatkan saingan di kedudukan ke-11 musim ini.
Pengurus pasukan S Visakan menjelaskan terdapat perjanjian ditandatangani bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mengatakan mereka dikecualikan daripada tersingkir ke liga bawahan.
“Kami tidak bimbang untuk tersingkir ke Liga Perdana atau terlalu memikirkannya kerana perjanjian ditandatangani mengatakan LionsXII dikecualikan turun ke bahagian dua.
“Fokus kami kini untuk meraih mata di Kuala Terengganu bagi memastikan layak secara automatik ke Piala Malaysia,” katanya.
LionsXII kendalian Fandi Ahmad kini berada di kedudukan kelapan liga dengan mengumpul 25 mata namun memerlukan kemenangan mengatasi pasukan di kedudukan kesembilan liga, T-Team (24 mata) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok bagi mengelak daripada mengharungi aksi play-off ke Piala Malaysia.
Namun andai tewas kepada T-Team manakala pasukan di kedudukan ke-10, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ke-11, Perak mencatatkan kemenangan pada perlawanan terakhir masing-masing, kedudukan pasukan jemputan dari Singapura itu akan jatuh ke kedudukan ke-11 dengan peraturan mengatakan dua pasukan terbawah Liga Super akan tersingkir ke Liga Perdana musim depan.
PKNS kini menghuni tangga terbawah Liga Super dengan 17 mata dan sah tersingkir ke Liga Perdana musim depan.
LionsXII hadir dalam Liga Malaysia selepas FAM dan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) menandatangani perjanjian empat tahun sehingga 2015 dengan pasukan Harimau Muda B yang dikendalikan Razip Ismail beraksi di Liga Singapura (Liga-S) musim ini.
Mereka kini berada di tempat tercorot apabila sekadar mengumpul sembilan mata dengan saingan berbaki empat perlawanan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin kelmarin menerusi laporan Arena Metro berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) jika LionsXII menamatkan saingan di kedudukan ke-11 Liga Super yang bakal menutup tirai malam esok.
Menurut Hamidin, perkara itu tidak terdapat dalam perjanjian persefahaman yang ditandatangani dan hanya terdapat perbincangan lisan dengan mereka memohon untuk tidak disingkirkan ke liga bawahan.
PDRM dan FELDA United sudah mengesahkan tempat mereka di Liga Super musim depan selepas muncul juara dan naib juara Liga Perdana musim ini.
No comments:
Post a Comment