Sumber: Harian Metro
Johor Bahru: Larian pantas S Chanturu dan kelicikan memperdaya benteng pertahanan lawan bakal menjadi nadi utama Johor Darul Ta'zim (Johor DT) mengharungi kempen Liga Liga M yang menyingkap tirai 31 Januari ini.
Apa pun pemain kelahiran Kulim, Kedah itu yang mampu beraksi di posisi sayap kanan dan kiri mengakui kecederaan dialami tiga bulan lalu menjejaskan sedikit rentak permainannya.
Namun dia lega mampu beraksi konsisten pada dua aksi persahabatan baru-baru ini.
Katanya, kecederaan dialami ketika menyertai Sarawak sudah pulih sepenuhnya tetapi perlu berwaspada mengelak ia berulang kerana tidak mahu terlepas berada dalam skuad utama Johor DT.
“Ketika latihan awal bersama Johor DT, saya agak kekok kerana kurang memahami corak latihan kendalian jurulatih Bojan Hodak namun semuanya dapat diatasi selepas lebih dua minggu bersama pasukan itu.
“Saya sudah pulih tetapi tetap berhati-hati dan tidak mahu ia berulang kerana tidak mahu duduk di bangku simpanan.
“Aksi persahabatan sangat penting bukan sahaja kepada diri saya malah kepada pasukan kerana mampu mendapat persefahaman jitu,” katanya.
Chanturu menepis dakwaan bakal menghadapi kesukaran untuk berada dalam kesebelasan utama kerana percaya kesungguhan dan disiplin sepanjang latihan menjadi kunci utama untuk tersenarai.
Malah Hodak sudah mengenali corak permainannya ketika bersama Kelantan pada 2012.
No comments:
Post a Comment