Sumber: Utusan Online
KUALA LUMPUR – Biarpun hadir dengan reputasi tinggi selaku bekas pengendali skuad kebangsaan Indonesia, jurulatih baharu Pulau Pinang yang berasal dari Brazil, Jacksen F. Tiago tidak merasai sebarang tekanan untuk meletakkan skuad Harimau Kumbang itu kembali sebaris dengan gergasi-gergasi Liga Malaysia pada musim 2015.
Ditambah sasaran pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) yang berhajat menyaksikan pasukan mereka berada dalam kelompok dua teratas Liga Perdana untuk layak ke Liga Super pada 2016, jurulatih yang mesra dengan panggilan Mamu Jacksen dalam kalangan peminat di Pulau Pinang berkata, dia sudah terbiasa bagi menghadapi keadaan sedemikian.
“Sebenarnya diri saya cukup bertuah kerana ke mana-mana sahaja pasukan yang saya pergi, mereka adalah sebuah kelab yang besar dan meletakkan sasaran yang cukup tinggi.
“Saya sudah lali dengan situasi ini apabila majikan meletakkan harapan yang agak tinggi dan saya telah buktikan semasa di Persipura apabila membawa mereka pada musim lalu layak ke separuh akhir Piala AFC.
“Perkara ini adalah normal dalam bola sepak dan saya langsung tidak berasa sebarang tekanan di Pulau Pinang serta memenuhi harapan yang disandarkan asalkan mereka menyokong saya setiap masa,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dalam tiga perlawanan persahabatan dilalui Pulau Pinang di bawah kendalian Jacksen, dua kemenangan serta satu seri dicatat dan yang terbaharu mereka menewaskan pasukan dari Liga Super, Sime Darby dengan keputusan 3-0 di Stadium Bandaraya, Isnin lalu.
Sebelum itu, mereka menewaskan skuad dari Liga FAM, Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA), 2-1 dan seri 2-2 menentang skuad Piala Presiden Pulau Pinang.
Pada malam ini, Harimau Kumbang bakal melalui cabaran sebenar apabila akan menguji juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Bandaraya dan dia menganggap itu sebagai satu perlawanan yang cukup sesuai menguji karakter sebenar anak-anak buahnya.
“Dalam beberapa perlawanan sebelum ini, saya nampak tahap keserasian mereka semakin baik dan faham corak taktikal yang saya mahu serapkan cuma kita memerlukan beberapa perlawanan pemanas badan bagi membentuk skuad ini agar lebih bersedia.
“Menentang JDT, saya rasa ini perlawanan paling sukar, namun cukup bagus bagi tujuan pendedahan, saya tidak sabar untuk melihat sejauh mana kemampuan mereka bertemu pasukan-pasukan besar,” katanya.
Pulau Pinang bakal mempertaruhkan ayam tambatan baharu dari Brazil, Alberto Goncalves Da Costa yang telah menjaringkan empat gol dalam tiga perlawanan persahabatan serta dua lagi pemain dari negara yang sama, Reinaldo Lobo dan Hilton Moreira, selain khidmat pemain Korea Selatan, Lee Gil Hoon yang dikekalkan dari musim lalu.
Jacksen pernah mengendalikan pasukan kebangsaan Indonesia pada tahun lalu bagi menghadapi kelayakan Piala AFC 2015 dan menjadi ketua jurulatih bagi lima kelab berbeza di Liga Super Indonesia (ISL) serta Liga Premier Indonesia (IPL).
Bersama Persipura Jayapura semenjak 2008, dia membawa kelab itu muncul juara ISL sebanyak tiga kali dan mencatat sejarah sebagai kelab bola sepak Indonesia mara ke separuh akhir Piala AFC sebelum tewas kepada kelab Kuwait, A-Qadsia.
No comments:
Post a Comment