Sumber: Metro Online
Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) berada dalam kelas tersendiri untuk melangkah ke saingan suku akhir Piala AFC selepas membelasah Ayeyawady United FC 5-0 di Stadium Larkin, malam tadi.
Kemenangan di pusingan kedua kalah mati itu memastikan Johor DT mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kali beraksi di peringkat lebih tinggi dan akan bertemu pasukan dari Asia Barat pada Ogos ini, sekali lagi menyamai pencapaian Selangor yang pernah layak pada musim 2006 dan Kelantan, 2012.
Sebaik babak pertama bermula, tuan rumah tidak menunggu lama apabila mencipta gol pada minit ke-2, berpunca daripada gerakan Luciano Figueroa yang mengumpan kepada Jorge Pereyra Diaz sebelum melorongkan bola kepada Safiq Rahim untuk menolak masuk menewaskan penjaga gol, Vanlal Hruai.
Skuad Harimau Selatan bagaikan tidak mahu hanya berpuas hati dengan jaringan tunggal pada awal babak perlawanan, sebaliknya menggandakan asakan namun bola tandukan Figueroa pada minit ke-17 sempat ditampan Hruai.
Sekali lagi Figueroa memiliki peluang mencetak nama selaku penjaring gol Johor DT pada minit ke-22 tetapi terlepas melakukan penyudah selepas menerima umpanan lintang Nazrin Nawi tatkala Hruai sudah tertewas.
Skuad kendalian Marjan Sekulovski yang tersentak dengan jaringan awal itu mula mengatur serangan balas pantas pada minit ke-27 tetapi hasrat menyamakan gol tidak kesampaian apabila rembatan deras Pyae Phyo Oo selepas menerima umpanan Riste Naumov, sedikit tersasar.
Sebaik babak kedua bermula, anak didik Mario Gomez menambah duka Ayeyawady United FC menerusi sentuhan `Amerika Latin' apabila Diaz bijak memperdayakan pertahanan pelawat sebelum melorongkan bola tepat kepada Figueroa yang mudah menewaskan Hruai untuk meletakkan tuan rumah selesa dengan 2-0.
Diaz yang kembali menguatkan jentera serangan selepas hampir dua bulan tidak beraksi nyata tampak berbisa apabila memastikan namanya selaku penjaring pada minit ke-61 selepas bertindak merembat leret hasil umpanan Figueroa.
Ternyata kelibat Diaz menjadi duri dalam daging buat pelawat apabila melengkapkan jaringan kedua peribadi pada minit ke-74 selepas menanduk kemas bola sepakan sudut Safiq.
Figueroa turut menjaringkan gol kedua peribadi untuk memastikan kemenangan bergaya Johor DT 5-0 menewaskan kelab dari Myanmar itu.
No comments:
Post a Comment