Sumber: Harian Metro Online
Kuantan: Kapten Tok Gajah Mohd Razman Roslan tidak menduga impian beraksi pada pusingan kedua Piala AFC bertemu kelab Indonesia, Persipura Jayapura di Stadium Mandala tidak kesampaian.
Pemain pertahanan itu berkata, ini kerana skuad Tok Gajah sudah bersedia berdepan cabaran getir beraksi di gelanggang lawan.
Namun, Razman akur dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) yang memutuskan Pahang pulang selepas menghadapi masalah berkaitan visa.
“Sebagai pemain, kami hanya menunggu keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk mengetahui kedudukan Pahang dalam kejohanan ini.
“Bagi pihak rakan sepasukan, saya terkilan kerana selepas mengharungi cabaran getir dalam peringkat Kumpulan G dan muncul naib juara, kami menghadapi masalah visa,” katanya.
Sabtu lalu, setibanya di Jakarta, skuad Pahang terkejut apabila menghadapi masalah visa membabitkan tiga daripada empat pemain import.
Tiga pemain import itu ialah Dickson Nwakaeme, Damion Stewart dan Zesh Rehman, manakala Matias Conti serta pemain tempatan tidak menghadapi masalah visa.
Disebabkan masalah tidak diduga itu, PBNP mengarahkan Pahang yang juga naib juara Kumpulan G pulang.
Pada masa sama, jurulatih Tok Gajah Zainal Abidin Hassan mengaku kecewa apabila skuadnya tidak dapat beraksi pada pusingan kedua ketika sudah cukup bersedia turun ke gelanggang.
“Saya memang terkilan, namun kami perlu menunggu maklum balas AFC selepas FAM sendiri menuntut agar Pahang diberi kemenangan percuma dan tidak mahu diadakan perlawanan ulangan.
“Kami berserah kepada keputusan AFC. Andai diarahkan bermain dalam perlawanan ulangan, kami sudah bersedia sepenuhnya,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment